BREAKING NEWS

Friday, 3 February 2017

PAS nafi kenyataan Tuan Ibrahim Tuan Man - Ketua Penerangan

PAS menafikan kenyataan Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man semalam bahawa parti itu telah mencapai persetujuan menjalin kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang diketuai Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan berkata, PAS tidak membuat sebarang keputusan seperti itu walaupun Tuan Ibrahim mengadakan perbincangan mengenai perkara tersebut dengan anak Mahathir, Datuk Seri Mukhriz semalam.

“Pertemuan yang berlaku antara PAS dan PPBM baru baru ini adalah masih diperingkat perbincangan dan penelitian. Keputusan belum diambil.

“Polisi PAS ialah hasil perbincangan oleh wakil parti akan dibawa balik ke Mesyuarat PAS Pusat untuk diputuskan kedudukan dari aspek politiknya sebelum ia dimuktamadkan oleh Majlis Syura Ulamak (MSU) sebagaimana yang diperuntukkan Perlembagaan Parti.

“Ertinya sehingga kini tiada apa apa keputusan muktamad yang diputuskan mengenai hubungan PAS dan PPBM,” katanya dalam satu kenyataan yang disebarkan di media sosial hari ini.

Tuan Ibrahim dan Mukhriz sejurus mengadakan perbincangan semalam mengeluarkan kenyataan bersama mengumumkan kerjasama politik antara PAS dan PPBM.

Pengumuman itu bagaimanapun mengelirukan ramai pihak terutama penyokong PAS kerana PPBM merupakan sekutu politik kepada musuh politik PAS iaitu DAP dan PAN.

Kerjasama itu jika benar secara tidak langsung bermakna PAS kembali berkait dengan DAP yang pernah dilabelkan PAS sebagai anti-Islam dan PAN yang dianggap pengkhianat Islam.

PAN ditubuhkan bagi menggantikan PAS sebagai parti Islam dalam Pakatan Harapan selepas PAS disingkirkan oleh DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) daripada pakatan dua tahun lalu.

PAS diketepikan kerana enggan tunduk dalam beberapa isu akidah Islam yang dianggap boleh mengundang beban politik kepada DAP dan PKR.

Nasrudin dalam pada itu menegaskan, sikap PAS terhadap DAP dan PAN telah dimuktamadkan bahawa PAS tiada hubungan dengan DAP dan PAN justeru PAS tidak menyertai Pakatan Harapan.

Sementara itu, Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Pusat, Dr. Zuhdi Marzuki berkata, Majlis Syura Ulama telah memutuskan hubungan tahaluf siyasi dengan DAP yang boleh difahami sebagai haram bekerjasama dengan DAP.

Justeru, katanya, tidak mungkin PAS berpatah balik untuk menjalin kerjasama dengan DAP secara langsung atau tidak langsung melalui kerjasama dengan PPBM selaku sekutu DAP.

Beliau bagaimanapun tidak menolak PPBM akan dibenarkan menyertai Gagasan Sejahtera yang dianggotai PAS dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) jika PPBM benar-benar mahu bekerjasama dengan PAS.

“Akan ada pula proses membuat keputusan selanjutnya iaitu mendapatkan persetujuan Ikatan,” jelasnya.
 
Copyright © 2014 PenangKini.