BREAKING NEWS

Monday, 27 February 2017

Peluang dapat RM1 juta setahun, program 1siswa 1niaga

Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menyasarkan lebih 100,000 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara merebut peluang pendaftaran perniagaan secara percuma melalui skim 1 Pelajar 1 Perniagaan.

Pengerusinya Datuk Seri Jamil Salleh berkata skim yang dilancarkan SSM sejak 1 Januari lalu itu di bawah peruntukan geran sebanyak RM10 juta oleh kerajaan adalah khusus bagi pelajar yang pertama kali mahu memulakan perniagaan.

“Geran itu terbuka kepada mereka yang cepat merebut peluang iaitu dalam tempoh 10 tahun dengan peruntukan RM1 juta setiap tahun kepada pelajar yang layak.

“Kita amat menggalakkan golongan pelajar menceburi bidang perniagaan sebagai salah satu kerjaya pilihan mahupun kerjaya sampingan selain memberi kesedaran berkaitan kewajipan mendaftarkan perniagaan untuk pengurusan yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian Karnival Youngpreneurs Go!(YPGO) di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Pauh Putra di sini hari ini.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat merasmikan karnival tersebut.

Turut berangkat ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Henry Sum Agong, ketua pegawai eksekutif SSM Datuk Zahrah Abd Wahab Fenner dan naib canselor UniMAP Profesor Datuk Dr Zul Azhar Zahid Jamal.

Beliau, yang juga ketua setiausaha KPDNKK, berkata sejak skim berkenaan dilancarkan awal tahun ini, sebanyak 3,403 pelajar sudah berdaftar dengan SSM dengan trend purata 1,500 permohonan dalam tempoh sebulan.

“Kita berharap lebih ramai pelajar merebut peluang ini kerana hanya 14,000 pendaftaran percuma sahaja dalam tempoh setahun, sekiranya terlepas, pelajar perlu menunggu tahun berikutnya.

Lebih 5,000 pelajar dari 18 IPT dan kolej di negeri ini hadir sepanjang karnival selama dua hari itu yang bermula semalam. — Bernama

- See more at: http://www.themalaymailonline.com/projekmmo/berita/article/peluang-anda-dapat-rm1-juta-setahun-program-1siswa-1niaga#sthash.jYdD7OaQ.199VGhLi.dpuf
 
Copyright © 2014 PenangKini.