BREAKING NEWS

Sunday, 19 February 2017

Penjenayah saja takut RUU 355, kata sayap bukan Islam PAS


Dewan Himpunan Penyokong PAS Pusat (DHPP) berkata tiada sebab untuk rakyat Malaysia, termasuk orang bukan Islam takut kepada pindaan Rang Undang-undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah) (RUU 355).
Pengerusinya, N Balasubramaniam berkata orang bukan Islam tidak perlu takut kerana Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan beragama untuk penganut agama lain.
“Mereka yang takut ialah sama ada penjenayah atau tauke judi, takut kehilangan pelanggan beragama Islam,” katanya ketika berucap di Himpunan RUU355 di Pandang Merbok yang berlangsung hari ini.
Himpunan RUU355, yang menjadi himpunan politik pertama untuk 2017, dianjurkan PAS dan beberapa kumpulan Islam bagi menunjukkan sokongan terhadap RUU persendirian Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi memperkasakan Mahkamah Syariah untuk menghukum pesalah Islam.
Seorang lagi penceramah bukan Islam, Sivan juga memberi ucapan bernada sama, dengan berkata ia tidak berkaitan dengan “orang Kristian dan Hindu”.
“Kita tidak boleh menyekat hak orang Islam (untuk memperkasakan mahkamah syariah).

“(Orang bukan Islam) yang tidak menyokong usaha ini boleh datang berjumpa saya, dan saya akan terangkan RUU ini tidak akan mengganggu hidup mereka,” katanya yang mewakili Persatuan Penceramah Bukan Islam Barisan Nasional (BN).
Antara kritikan terhadap usaha PAS itu ialah ia akan turut memberi kesan kepada orang bukan Islam di negara ini.
Himpunan hari ini menampilkan penceramah di kalangan pimpinan PAS serta pelbagai NGO, selain persembahan nasyid antaranya daripada kumpulan Nowseeheart dan Shoutul Amal.
Kelantan mengisytiharkan esok sebagai cuti peristiwa bagi menggalakkan penyokong mereka di negeri itu turut sama menyertai himpunan ini.
Satu lagi himpunan balas “Rakyat Malaysia tolak RUU Hadi” anjuran NGO dikenali sebagai Bebas diadakan di Taman Jaya, Petaling Jaya bagi menghimpunkan umat Islam dan bukan Islam untuk membantah RUU 355.
RUU 355 pertama kali dibentangkan di Dewan Rakyat pada 26 Mei lalu oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi memperkasakan mahkamah syariah dengan lebih banyak kuasa.
Pada 24 November lalu, Hadi meminta Dewan Rakyat menangguhkan perbahasan RUU 355 ke sidang berikut pada Mac ini bagi membolehkan pindaan dilakukan terhadapnya RUU itu.
Antara pindaan dicadangkan ialah hukuman “penjara tidak melebihi 30 tahun atau denda tidak lebih RM100,000 atau 100 sebatan” berbanding maksimum 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan 6 kali sebatan yang boleh dijatuhkan mahkamah syariah ketika ini.

 
Copyright © 2014 PenangKini.