BREAKING NEWS

Friday, 3 February 2017

Saya bukan sperti Lim Guan Eng, Nak lari dari disiasat - Annuar Musa


Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa menegaskan beliau tidak akan melarikan diri atau berdolak-dalih daripada disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seperti yang dilakukan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sebelum ini.

Annuar berkata, sebagai pe­mim­pin dan Pengerusi Mara beliau bertanggungjawab penuh terhadap amanah yang diberikan oleh kerajaan.

“Saya mengambil penuh tanggungjawab ini dan esok pada pukul 8 pagi saya akan berada di Ibu pejabat SPRM di Putrajaya untuk menyerah diri dan disiasat kerana isu berprofil tinggi.

“Sehubungan itu, saya perlu berundur sekejap dalam Mara bagi membolehkan siasatan dibuat, ma­lah saya bukan seperti Lim Guan Eng (Ketua Menteri Pulau Pinang) yang lari apabila hendak disiasat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini dengan menaiki pesawat Malaysia Airlines (MAS), MH130 selepas menghadiri program rasmi Mara di Auckland, New Zealand

Semalam, Annuar dinasihatkan bercuti sementara daripada menjalankan tugas sebagai Pengerusi Mara dan Pengerusi Pelaburan Mara Berhad (PMB) dalam satu mesyuarat yang diadakan oleh Ahli Majlis Mara.

Keputusan itu dibuat bagi membolehkan siasatan dan audit dalaman dilakukan terhadap Annuar berhubung dakwaan penya­lahgunaan kuasa serta penajaan Pelaburan Mara Berhad dan UniKL untuk pasukan bola sepak Kelantan, The Red Warriors.

Terdahulu, lebih 400 penyokong Annuar Musa berkumpul di KLIA sejak pukul 7 petang bagi memberi sokongan moral.

Mengulas lebih lanjut, Annuar turut meminta semua penyokongnya dan ahli UMNO tidak membuat sebarang spekulasi berhubung keputusan yang diambil oleh Ahli Majlis Mara itu.

Katanya, kesemua pihak terli­bat hanya menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh kerajaan.

“Sebenarnya saya sendiri yang sukarela minta disiasat sama ada oleh SPRM atau PDRM, saya tidak mahu siasatan dalaman dilakukan oleh Mara kerana bimbang jika ada yang mendakwa siasatan tersebut tidak telus dan sebagainya,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya sama ada Menteri Kemajuan Luar Ban­dar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga perlu me­ngundur diri, Annuar menegaskan, tiada keperluan untuk beliau meletak jawatan atau sebagainya.

“Beliau tidak perlu letak jawatan kerana ada tugas yang perlu dilaksanakannya, jangan letak kesalahan pada beliau.

“Malah, beliau juga ajak saya makan malam selepas isu ini timbul tetapi saya minta ditangguhkan dahulu sehingga siasatan SPRM selesai,” katanya.

Sementara itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang masih meletak kepercayaan kepadanya sebagai Ketua Penerangan UMNO.

Bagaimanapun, katanya, beliau akan berjumpa dengan Perdana Menteri dalam masa terdekat ini selepas siasatan bersama SPRM dilakukan.

Utusan
 
Copyright © 2014 PenangKini.