BREAKING NEWS

Monday, 27 February 2017

Sejarah Keakraban Arab Saudi - Malaysia

KERAJAAN Arab Saudi adalah antara penyumbang dana bagi membolehkan penubuhan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
LAWATAN Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud ke Malaysia bermula semalam menandakan hubungan diplomatik antara Malaysia-­Arab Saudi terus erat. Ini adalah lawatan rasmi pertama Raja Salman ke negara ini. Malaysia adalah antara salah sebuah negara yang dilawati Raja Salman selain Indonesia, Jepun dan China dalam siri jelajah beliau ke Asia. Sudah pasti lawatan ini mempunyai agenda besar dari kedua-dua sudut, politik dan ekonomi.

Pemilihan Malaysia dalam rangka lawatan ini boleh dilihat dari sudut keuntungan ekonomi negara tersebut yang mempunyai visi mempelbagaikan sumber ekono­minya dalam masa sama memanfaatkan sumber minyak sedia ada. Projek RAPID Pengerang dijangka menjadi tumpuan utama Arab Saudi dalam memanfaatkan lawatan ini selain isu berbangkit lain.

Sejak menjawat jawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah beberapa kali mengadakan lawatan dan pernah diundang ke Arab Saudi oleh Raja Fahd sebelum ini. Pada awal 2016, Perdana Menteri ­melakukan lawatan diplomatik kepada Raja Salman sebaik sahaja ba­ginda menaiki takhta pada Januari 2015. Ini menunjukkan hubungan antara Malaysia-Saudi bukanlah asing. Sebagai negara Islam, pas­tinya faktor agama serta kedudukan Mekah sebagai kota suci umat Islam menjadi pendorong utama kepada keakraban. Walaupun begitu, hubungan keagamaan erat ini di­terjemahkan dalam bentuk kerjasama diplomatik dan ekonomi yang baik antara kedua-dua pihak demi kepentingan ekonomi dan politik di rantau ini

Melihat kepada sejarah hubu­ngan Malaysia-Arab Saudi dalam era moden ini, keakraban dua negara ini bermula sejak pembentukan tanah Melayu sebagai negara berdaulat. Sebaik sahaja me­ngumumkan kemerdekaan negara pada 1957, Tunku Abdul Rahman melawat Arab Saudi. Di samping menunaikan haji, beliau juga mengambil peluang merapatkan hubungan diplomasi de­ngan kerajaan Saudi.

Pada awal 1960, sumbangan Arab Saudi kepada kestabilan politik di rantau Asia Tenggara juga sangat penting. Ketika berlakunya era konfrontasi antara Malaysia dan Indonesia, kerajaan Arab Saudi pada ketika itu yang dipimpin Raja Faisal memberi sumbangan sangat besar apabila berperanan sebagai pendamai dalam me­ngendurkan ketegangan yang berlaku di kepulauan Melayu ketika itu. Di sinilah bermula­nya hubu­ngan diplomatik secara rasmi antara Malaysia-Arab Saudi yang turut dibantu oleh keakraban hubungan peribadi antara Tunku Abdul Rahman dan Raja Faisal.

Lawatan Arab Saudi ke Malaysia sejak 1970an yang dimulakan oleh Raja Faisal dan ini silih berganti antara pemimpin-pemimpin kedua-dua negara. Sepanjang hubungan ini, Malaysia menerima manfaat besar dengan bantuan yang pernah diberikan oleh kerajaan Arab Saudi dan ia memberikan impak yang sangat penting kepada pembangunan ekonomi di Malaysia, terutama­nya pembangunan kawasan pinggir bandar dan penyediaan kemudahan infrastruktur di Malaysia. Antara sumbangan pada 1970an itu adalah bantuan kewangan AS$250 juta yang diberikan oleh kerajaan Arab Saudi bagi membolehkan Rancangan Malaysia Ketiga (RMK-3) dijalankan.

Dalam masa sama, kerajaan Arab Saudi turut memberi sumbangan kepada aktiviti dakwah, pendidikan dan pembangunan Islam di Malaysia dengan memberikan bantuan kewangan kepada agensi-agensi berkaitan seperti Perkim, Yadim, pembinaan Masjid Universiti Sains Malaysia (USM) dan tidak terkecuali sumbangan bagi pembinaan Masjid Negara.

Jika Era 1960-an dan 1970an menyaksikan hubungan Malaysia-Saudi memberi manfaat kepada sebelah pihak sahaja de­ngan Malaysia banyak menerima bantuan pembangunan, era 1980an –1990an menyaksikan hubungan dua hala yang lebih baik antara Malaysia-Saudi. Walaupun pada awalnya Malaysia di bawah pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad masih menerima bantuan kewangan daripada kerajaan Saudi, namun, hubungan ini kemudiannya diterjemahkan dalam kerjasama lebih erat yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara dan negara Islam.

Antara yang terpenting adalah membenarkan Syarikat Perkapalan Saudi (National Shipping Company of Saudi Arabia) memasuki pelabuhan negara yang secara tidak langsung mem­bolehkan pengembangan hubungan dagangan antara kedua-dua negara. Hasil kerjasama ini juga membolehkan beberapa perjanjian turut dimeterai antara Malaysia dan Saudi antaranya adalah perjanjian mengenai pendidikan 1978, perjan­j­ian persefahaman dalam pendidikan 1982 dan perjanjian penajaan bagi pembinaan Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) pada 1985.

Memasuki era 2000, hubungan erat diteruskan oleh pemimpin kedua-dua negara. Pada ketika ini, tumpuan lebih diberikan kepada pemerkasaan kerjasama ekonomi. Tumpuan banyak diberikan kepada eksport produk bukan minyak oleh Arab Saudi ke Malaysia di samping pelaburan bersama oleh kedua-dua negara. Kerjasama antara kedua-dua negara ini kemudiannya diper­luaskan termasuklah dalam isu polisi keselamatan yang menyentuh isu keganasan, penyeludupan dadah, pemalsuan dokumen dan jenayah merentas sempadan.

Hubungan diplomatik yang baik diterjemahkan dengan kerjasama ekonomi antara dua negara ini. Hubungan ekonomi terutama­nya hubungan dagang mencecah As$3.3 bilion pada tahun 2016 dengan imbangan yang negatif di mana Malaysia mengeksport kurang daripada AS$1 bilion. Arab Saudi adalah rakan dagang kedua tertinggi Malaysia dalam kalangan negara Asia Barat selepas UAE. Sepanjang tempoh lima tahun ini, jumlah dagangan antara dua negara ini adalah sekitar AS$3–AS$4 bi­lion setahun de­ngan jumlah dagangan tertinggi dicatatkan pada 2011. Hubungan dagangan ini banyak bergantung kepada import produk minyak dari Arab Saudi dan ia sangat dipengaruhi kenaikan harga minyak semasa serta kestabilan ringgit.

Raja Salman dengan vi­sinya untuk memajukan Arab Saudi dan menjadikan negara itu sebagai sebuah negara yang ­me­nghubungkan tiga benua, kuasa baharu pelaburan dan menjadi teladan kepada negara Arab dan dunia Islam lain. Ini dinyatakan dalam wawasan 2030 yang menjadi teras pembangunan negara Arab Saudi di bawah pimpinan Raja Salman. Kesungguhan Malaysia untuk mengambil manfaat daripada perkembangan terkini strategi pembangunan ekonomi Arab Saudi dapat dilihat dengan penglibatan pemimpin negara menyertai forum-forum ekonomi yang diadakan di Arab Saudi.

Visi baharu Saudi ini secara jelas menunjukkan kesungguhan negara ini untuk keluar daripada bergantung sepenuhnya kepada sektor minyak dan petroleum. Ini memberi ruang kepada negara seperti Malaysia untuk mengambil manfaat daripada strategi baharu pembangunan ekonomi Arab Saudi. Penumpuan kepada bidang-bidang yang Malaysia berkelebihan seperti pengurusan teknologi dan maklumat, pengurusan halal, sektor pendidikan, penjagaan kesihatan, pelanco­ngan, kejuruteraan, pembinaan dan perkhidmatan konsultan. Dengan memanfaatkan peluang dalam bidang ini, ia dijangka dapat meningkatkan hubungan dagang antara kedua-dua negara.

Hubungan berkekalan antara Malaysia dan Arab Saudi ini banyak dibantu oleh hubungan dagangan dan pelaburan dua hala kedua-dua negara di samping keperluan Malaysia untuk mengimport mi­nyak daripada negara tersebut. Selain faktor terpenting iaitu faktor Islam itu sendiri yang menjadikan hubungan ini kekal kukuh. Hubu­ngan di era moden yang memasuki hampir 60 tahun ini bukan sahaja perlu dijaga baik bahkan kedua-dua negara seharusnya bijak mengambil manfaat dan berusaha menjadi penghubung kepada kesatuan umat di dunia Islam, sesuai dengan Visi Arab Saudi yang mahu menjadikan negara itu sebagai pusat bagi dunia Arab dan dunia Islam (the heart of the Arab and Islamic worlds).

DR. MOHD. FAUZI ABU ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Tamadun Islam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

UTUSAN
 
Copyright © 2014 PenangKini.