BREAKING NEWS

Friday, 10 February 2017

Sindiket pelacuran antarabangsa tumpas di Pulau Pinang

Antara pelacur asing yang ditahan dalam serbuan pagi tadi


GEORGETOWN - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan satu sindiket pelacuran antarabangsa yang menawarkan khidmat seks melalui aplikasi sosial 'WeChat' dalam satu serbuan di sebuah pangsapuri perkhidmatan di Georgetown, Pulau Pinang awal hari ini.

 Dalam serbuan pukul 1 pagi itu, 16 wanita warga Uzbekistan, dua wanita warga Vietnam dan seorang wanita warga Indonesia berumur antara 17 hingga 38 tahun ditahan dan juga tiga lelaki warga tempatan yang disyaki 'bapa ayam', yang mendalangi dan menyelia aktiviti tidak bermoral di premis kediaman tersebut.

 Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata sindiket itu berselindung di sebalik premis kediaman bagi mengaburi agensi penguatkuasa kerana premis kediaman dikawal ketat oleh pengawal keselamatan apartment dan pelawat yang dibenarkan sahaja diberi kebenaran masuk.

 "Sindiket ini dipercayai aktif semenjak dua bulan yang lalu dengan menawarkan khidmat seks melalui aplikasi sosial WeChat dengan bayaran RM240 hingga RM350 setiap sesi secara 'walk-in' dan 'out call' di hotel-hotel yang ditetapkan oleh pelanggan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

 Mustafar berkata serbuan ke kediaman berkenaan dijalankan pasukan Unit Tindakan Imigresen, Jabatan Imigresen Pulau Pinang bersama Bahagian Penguatkuasa, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya setelah memperoleh maklumat daripada warga tempatan. Wang tunai hasil daripada pendapatan tidak bermoral tersebut berjumlah RM12,629 dan dua buah kereta jenis Mercedes dan Exora yang disyaki digunakan untuk aktiviti haram itu turut dirampas ketika serbuan, katanya.

 "JIM percaya sindiket ini melibatkan rangkaian sindiket antarabangsa dan hasil daripada penangkapan itu akan membawa kepada penemuan rangkaian-rangkaian sindiket lain yang bergerak aktif yang didalangi warga asing dengan kerjasama warga tempatan," katanya.

 Beliau menyeru agar orang ramai melaporkan kepada pihak imigresen sekiranya mereka mengesyaki terdapat aktiviti-aktiviti serupa di kawasan kediaman mereka. -kosmo
 
Copyright © 2014 PenangKini.