BREAKING NEWS

Saturday, 11 February 2017

Surat bukti cubaan campur tangan kerajaan DAP Pulau Pinang dalam fatwa

BUTTERWORTH: Surat daripada seorang exco kepada jawatankuasa, dengan salinan kepada ketua menteri meyakinkan Umno Pulau Pinang ada cubaan campur tangan dalam urusan Jawatankuasa Fatwa negeri.

Surat yang disiarkan di beberapa blog politik kelmarin itu menyatakan Exco Hal Ehwal Islam Abdul Malik Abul Kassim mengesali tindakan jawatankuasa fatwa mengeluarkan 2 fatwa walaupun ada bantahan daripada kerajaan negeri.
Dalam surat itu Malik berkata fatwa tersebut mungkin cubaan pihak tertentu untuk mencemar nama baik kerajaan negeri dan mungkin boleh menyebabkan kekacauan dalam kalangan orang Islam Pulau Pinang.

Surat bertarikh 26 Mei 2010 dan dialamatkan kepada mufti dan pengerusi jawatankuasa ketika itu, Datuk Hassan Ahmad.
Ketua Badan Perhubungan Umno Datuk Zainal Abidin Osman berkata penafian campur tangan politik oleh Malik tidak boleh diterima kerana surat membuktikan sebaliknya.
“Surat Malik nyata berlawanan dengan perkara di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam Pulau Pinang 2004.

“Berdasarkan surat ini, dakwaan Malik mengatakam tiada campur tangan tidak boleh diterima,” kata Zainal pada sidang media di Kampung Tok Suboh, Bukit Mertajam, semalam.
Malik ketika dihubungi FMT berkata menyatakan pandangan beliau mengenai isu berkaitan fatwa seperti dalam surat itu tidak salah.

Beliau berkata menghantar salinan kepada ketua menteri juga tidak salah kerana beliau mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Beliau berpendapat Barisan Nasional barangkali tidak biasa dengan seorang ketua menteri yang prihatin mengenai orang Islam, oleh itu berasa bimbang.
“Ketua menteri, selaku ketua dan pengerusi majlis eksekutif, bertanggungjawab untuk menjaga kepentingan semua agama dan kaum,” kata Malik.

Isu campur tangan mula dibangkitkan PAS yang mendakwa kerajaan negeri mengganggu urusan penfatwaan yang terletak di bawah jawatankuasa fatwa dan Agong.
PAS mendakwa kerajaan negeri meminta semua fatwa melalui MMKN yang dipengerusikan ketua menteri sebelum diserahkan kepada Agong untuk dipersetujui.

Menjelaskan keadaan, Mufti Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, yang juga pengerusi jawatankuasa fatwa, berkata fatwa sekadar dimaklumkan kepada kerajaan negeri.
Beliau berkata exco dan ketua menteri tidak menyekat mana-mana fatwa.
Ahli jawatankuasa fatwa Saleh Ahmad bagaimanapun menyokong dakwaan PAS dan berkata kerajaan negeri tidak perlu mencampuri urusan fatwa.

Saleh mmpunyai ikatan kekeluargaan dengan bekas mufti, Hassan.
Kerajaan negeri, terutama Malik, menafikan semua dakwaan.

FMT
 
Copyright © 2014 PenangKini.