BREAKING NEWS

Friday, 10 February 2017

Surat Exco Bukti Wujudnya Campurtangan Kerajaan Dap P.Pinang Dalam Urusan Fatwa


NIBONG TEBAL, 10 Feb – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang Datuk Seri Zainal Abidin Osman dalam kenyataan medianya hari ini berkata, surat Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri itu, Datuk Malik Abdul Kassim kepada Mufti Negeri Pulau Pinang bertarikh 26 Mei 2010 adalah bukti wujudnya campur tangan Exco Agama dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam urusan penfatwaan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang.
Jelasnya, alasan Malik Kassim kononnya tidak berlaku campurtangan kerana Jawatankuasa Fatwa tidak menurut permintaan beliau melalui surat itu tidak boleh diterima pakai.
“Soal samada Jawatankuasa Fatwa akur atau tidak akur dengan kehendak atau permintaan Exco Agama dan Kerajaan Dap Pulau Pinang tidak bermakna campur tangan Exco Agama dan Kerajaan Negeri tidak berlaku.
“Yang menjadi persoalannya adalah, apakah tujuan dan hasrat sebenar Malik Kassim mengeluarkan arahan melalui surat bertarikh 26 Mei 2010 itu kepada Jawatankuasa Fatwa tersebut,” ujarnya.
Tambah Zainal, kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas Mufti Datuk Seri Hj Hassan Ahmad dan Ahli Jawatankuasa Fatwa Datuk Hj Salleh Ahmad baru-baru ini juga membuktikan wujudnya campur tangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui arahan daripada Exco Agama Islam iaitu Malik Kassim.
“Pada 31 Januari lalu, Mufti Pulau Pinang Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor menyebut keputusan untuk mewartakan sesuatu fatwa oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri perlu terlebih dahulu dikemukakan ke dalam mesyuarat MMK Negeri oleh Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) sebelum dipersembahkan kepada SPB Yang Di-Pertuan Agong.
“Ini bercanggahan dengan Seksyen 48 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Pulau Pinang 2004 pecahan (3) dan (4) kerana Enakmen ini tidak menyebut fatwa yang telah diluluskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang perlu dibawa untuk makluman atau perkenan Mesyuarat MMK Negeri yang dipengerusikan oleh Lim Guan Eng sebagai Ketua Menteri sebelum dipersembahkan kepada SPB Yang Di-Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenan.
“Sekiranya benar terdapat fatwa-fatwa yang ‘tertangguh’ di peringkat MMK Negeri Pulau Pinang sebagaimana yang didakwa oleh beberapa pihak, maka ini boleh dianggap sebagai satu penghinaan terhadap Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang sebagai wakil SPB Yang Di-Pertuan Agong dan SPB Yang Di Pertuan Agong sendiri sebagai Ketua Agama Islam di Pulau Pinang,” terangnya lagi.
Oleh itu tegas beliau, Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang meminta agar Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) Datuk Salleh Man yang juga bekas Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang supaya menyatakan pendiriannya dalam isu ini.
“Sehingga kini kita masih belum mendengar sebarang kenyataan daripada beliau sejak isu campurtangan Kerajaan Negeri dalam urusan pemfatwaan ini mula berbangkit.
“Semasa Barisan Nasional (BN) menjadi pemerintah di negeri ini, perkara sebegini tidak pernah berlaku dan ianya diakui sendiri oleh bekas Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Hj Hassan Ahmad yang pernah berkhidmat semasa negeri ini diterajui oleh BN,” katanya lagi. 


 
Copyright © 2014 PenangKini.