BREAKING NEWS

Sunday, 5 February 2017

Tuntutan Pulau Batu Puteh tak jejas hubungan KL-Singapura

KEPALA BATAS: Hubungan Malaysia dengan Singapura tidak akan terjejas, walaupun kerajaan memfailkan permohonan bagi semakan terhadap keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, Malaysia merupakan negara yang sentiasa mengikut lunas undang-undang antarabangsa, berikutan permohonan semakan boleh dikemukakan dalam tempoh 10 tahun selepas keputusan terakhir dibuat ICJ pada 2008.

“Macam keputusan diberi ICJ dahulu (yang memihak) kepada Singapura, walaupun tidak memihak kepada Malaysia, tidak berlaku hubungan keruh, bahkan hubungan dagangan makin meningkat.
“Kerajaan tidak akan membiarkan sebarang kemungkinan yang ada daripada terlepas dalam usaha mempertahankan kedaulatan negara kita kerana ia amat penting bagi kita,” katanya selepas menyampaikan sumbangan peralatan persekolahan serta geran biasiswa kepada 20 pelajar di Parlimen Kepala Batas, hari ini.

Jumaat lalu, Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dalam satu kenyataan berkata, Malaysia memfailkan permohonan semakan semula penghakiman ICJ ke atas Pulau Batu Puteh (Pedra Branca), Batuan Tengah (Middle Rocks) dan Tubir Selatan (South Ledge).

Permohonan semakan semula itu yang difailkan di ICJ, The Hague, Belanda, pada Khamis, adalah susulan penemuan 3 dokumen di National Archives of the United Kingdom.


Pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan Singapura mempunyai kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh, sementara Batuan Tengah adalah milik Malaysia, manakala Tubir Selatan menjadi milik negara di perairan pulau itu terletak.

Pulau Batu Puteh terletak 7.7 batu nautika dari pantai Tanjung Penyusuh di Johor.
 
Copyright © 2014 PenangKini.