BREAKING NEWS

Sunday, 5 February 2017

Umno Pulau Pinang, Ku Nan bincang cadangan Pulau Pinang jadi Wilayah Persekutuan


KEPALA BATAS: Umno Pulau Pinang akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam masa terdekat berhubung cadangan menjadikan Pulau Pinang sebagaisebahagian Wilayah Persekutuan.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata, pihaknya mahu mendengar dan meneliti terlebih dahulu pandangan serta cadangan sebenar Tengku Adnan berhubung perkara berkenaan.

“Selepas perbincangan itu, baru kami akan adakan pertemuan dengan parti komponen Barisan Nasional bagi memberi penjelasan, seterusnya memaklumkan kepada rakyat sebelum membuat sebarang keputusan berhubung perkara itu,” katanya selepas mesyuarat Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang hari ini.

Dalam temu bual dengan stesen radio berteraskan kandungan perniagaan, BFM pada 1 Februari lalu, Tengku Adnan yang turut dikenali sebagai Ku Nan mahu memperluaskan Wilayah Persekutuan untuk memasukkan Pulau Pinang, Langkawi, Kedah dan sebahagian Melaka.

Negeri berkenaan akan terletak di bawah pentadbiran Putrajaya secara langsung dan Tengku Adnan mendakwa dengan pembabitan kerajaan persekutuan, negeri terbabit akan mendapat lebih banyak peruntukan dan perhatian.
Ketika ini, di bawah Wilayah Persekutuan ialah Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.


Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pada 2 Februari lalu dilaporkan berkata, beliau tidak bersetuju dengan cadangan itu dan mendakwa kenyataan Tengku Adnan berunsur hasutan kerana ia bercanggah Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu, Zainal Abidin menasihatkan rakyat Pulau Pinang agar tidak terpengaruh dengan isu itu sehingga menimbulkan kebencian kepada kerajaan pusat kerana setakat ini ia sekadar cadangan dan perlu diperhalusi terlebih dahulu.

“Kalaupun ia dipersetujui kerajaan pusat, ia perlu mendapatkan kebenaran kerajaan negeri, malah keputusan itu melibatkan Perlembagaan serta undang-undang negara. Bukan boleh dibuat dalam masa sehari,” katanya.

 
Copyright © 2014 PenangKini.