BREAKING NEWS

Sunday, 19 March 2017

10 Fakta & Mitos mengenai Zakir Naik yang Wajib anda ketahui


zakir
Dr Zakir Naik kerap diangkat sebagai pakar perbandingan agama yang tiada taranya, dengan kemampuan menghafaz keseluruhan Al-Quran dan kitab agama lain seperti Bible dan Veda.
Dalam bahasa mudahnya, pendakwah dari India itu dimomokkan sebagai sosok yang hebat dan digeruni pihak lawan. Ada yang mengangkat beliau sebagai “ustaz”, tidak kurang juga pihak yang menggelarnya ulama dan pelbagai lagi gelaran hebat yang dinisbahkan kepada Zakir.
Zakir sendiri tidak meminta digelar sedemikian dan beliau juga tidak pernah menggelar diri sendiri dengan gelaran tersebut. Ya mungkin ada pihak yang menjawab bahawa Zakir seorang yang merendah diri, oleh itu beliau tidak akan sesekali mendabik dada sebagai ustaz atau seorang ulama. Takkanlah masuk bakul angkat sendiri.
Antara fakta dan mitos
Namun, fakta perlu dipisahkan daripada mitos. Sudah tiba masanya kita mendidik diri dengan ilmu yang benar, dan meneliti sesuatu perkara secara adil mengikut disiplin ilmu. Tanpa ilmu, apa yang menjadi panduan kita dalam menentukan kebenaran ialah sentimen terhadap sesuatu perkara dan logik akal semata-mata.
Jangan jadikan kepetahan berkata-kata, jubah, serban, janggut dan hafalan beberapa potong ayat Al-Quran sebagai penentu keilmuan seseorang. Jangan jadikan kemasyhuran dan anugerah sebagai pengukur kebenaran. Diamnya seseorang tidak bermaksud jahil, kelantangan pula tidak mencerminkan ilmu kerana pada lazimnya tong kosong nyaring bunyinya.
Berbalik kepada Zakir, penulisan ini membahaskan beberapa khabar angin tentang kebolehan luar biasa beliau yang tidak ada tolok bandingnya, dengan menyentuh 10 isu. Setelah itu, kita akan menelusi permasalahan pokok berkaitan akidah dan syariat yang dibawa Zakir.
1. Zakir Naik seorang ulama dan pakar agama
Hakikatnya, Zakir Naik adalah seorang doktor perubatan yang tidak mengamalkan profesi tersebut. Beliau tidak mempunyai latar belakang pendidikan Islam yang kukuh sama ada secara rasmi atau tidak rasmi.
Untuk digelar seorang ulama atau agamawan, seseorang itu mestilah mempunyai kelayakan ikhtisas pengajian Islam sama ada secara akademik ataupun secara tradisional bersanad melalui talaqqi (sistem pondok). Keupayaan berbahasa Arab dan kemampuan menelaah sumber primer Islam dalam Bahasa Arab juga adalah kriteria utama seorang yang bergelar ilmuan Islam.
Malangnya, kesemua ini tidak dimiliki oleh Zakir. Dalam sejarah Islam, tidak pernah didengari ulama yang tidak boleh berbahasa Arab walaupun mereka bukan orang Arab seperti Imam Bukhari, dan tidak pernah juga wujud pakar agama yang bacaan Al-Qurannya tidak boleh difahami dek kesalahan sebutan makhraj huruf yang mencacatkan maksud.
Di Malaysia sendiri, kita ada muallaf yang menguasai Bahasa Arab dengan baik bahkan mampu mengajar tajwid. Alangkah baiknya jika Zakir terlebih dahulu mempelajari Bahasa Arab dan memantapkan ilmu Islam sebelum mendalami selok-belok agama lain. Nampaknya fenomena ustaz/ustazah “segera” ini sudah menular ke serata pelosok dunia.
2. Zakir Naik seorang hafiz Quran
Zakir bukanlah seorang hafiz Al-Quran, dan beliau juga tidak pernah mendakwa sedemikian. Tetapi, tidak dinafikan beliau memang ada menghafal beberapa ayat dan surah tertentu khususnya berkaitan topik perbandingan agama.
Berkemungkinan tanggapan beliau seorang hafiz Al-Quran disebabkan kebolehan beliau memetik ayat Al-Quran sepintas lalu tanpa merujuk teks. Kemampuan beliau ini kemudian digembar-gemburkan sebagai hafiz Al-Quran. Maka timbullah mitos yang sukar dipadamkan disebabkan ketaksuban golongan tertentu.
Ada baiknya jika soalan berkaitan hafiz ini dilontarkan kepada Zakir dalam sesi ceramahnya di masa hadapan bagi menjernihkan kontroversi. Selain itu, jika betul pun beliau seorang hafiz, hafazan tanpa pemahaman adalah sia-sia. Bak burung kakak tua yang hanya mampu mengulangi apa yang dihafalnya, maka muncullah fahaman “Allah berada di atas langit”, “Allah duduk di atas ‘Arash”, “Aku lebih memahami Sunnah dari Imam Al-Syafi’ie,” dan sebagainya.
3. Zakir Naik hafal kitab suci lain
Ketebalan Bible adalah dua kali ganda ketebalan Al-Quran. Ini belum lagi dikira ketebalan Bible mazhab Kristian Ortodoks yang jauh lebih tebal kerana ia memuatkan beberapa Sefer (kitab) tambahan.
Maka dengan fakta ini, adakah masuk akal jika Al-Quran yang berjumlah 604 halaman itu pun tidak terhafal – inikan pula Bible yang beribu muka surat! Sejak Bible dibukukan secara rasmi sebagai kitab suci oleh Gereja Roman Katolik pada tahun 393 Masehi oleh persidangan uskup yang dikenali sebagai Synod of Hippo Regius, tidak ada sebarang catatan sejarah yang merekodkan individu yang menghafal keseluruhan Bible.
Ini kerana manuskrip kitab suci tersebut ditulis dalam pelbagai bahasa kuno seperti Yunani, Ibrani, Suryani, Qibti bahkan Arab. Naskhah Yunani sahaja berjumlah 5,686 dan berbeza antara satu dengan lain dari sudut ragam bahasa, loghat, kosakata dan struktur kalimat.
Begitu juga dengan Naskhah Latin (10,000), Ibrani, Habsyi, Qibti, Armenia, Suryani dan selainnya yang mencecah 9,300 manuskrip berbeza.
Maka adalah amat mustahil wujudnya insan yang mampu menghafal keseluruhan Bible, kecuali insan tersebut adalah seorang Nabi yang dikurniakan wahyu maka sewajibnya dia menghafal sesuatu kitab suci yang diberikan kepadanya seperti Nabi Musa yang menghafal Taurat dan Nabi Isa yang menghafal Injil.
Namun begitu, terdapat dua invididu yang dikatakan menghafal terjemahan Bible versi Protestant dalam Bahasa Inggeris. Mereka adalah Dr Van Impe dan John Goetch. Namun, dakwaan ini tidak pernah dibuktikan secara empirikal.
Bible Protestant adalah jauh lebih nipis kerana tidak memuatkan 7 buah Sefer yang dikenali sebagai Deuterocanonical. Maka, apa yang jelas adalah Zakir Naik hanya menghafal ayat-ayat tertentu sahaja yang berkaitan dengan isi maklumat yang hendak disampaikannya kepada umum.
Kitab lain agama Yahudi/Kristian seperti Talmud, Mishnah, Gemarra, Pseudepigrapha, Apocryphal New Testament dan kitab utama agama Hindu/Buddha seperti Veda, Baghavad Gita, Tripitaka, Saddharma Pundarika, Avesta dan seumpamanya sudah tentu tidak dihafal beliau kerana sedemikian tebalnya. Kalaupun hendak melonjakkan seseorang tokoh itu ke makam yang tertinggi, biarlah berpada dan berdasarkan fakta, bukannya mitos.
4. Zakir Naik anak murid Ahmed Deedat
Zakir disensasikan sebagai murid penceramah Afrika Selatan, Ahmad Deedat, walaupun beliau tidak pernah sama sekali berguru dengan tokoh yang dimaksudkan. Ia sekadar pertemuan sekali pada 1987.
Maksud berguru ialah seorang yang rendah ilmunya menuntut daripada seorang yang lebih tinggi ilmunya dan berlaku sesi penyampaian maklumat daripada guru secara langsung kepada muridnya. Jikalau seseorang menimba ilmu melalui “Syaikh” Google ataupun bacaan buku semata-mata ataupun rakaman YouTube, itu tidak dapat diertikan sebagai bergurukan tokoh tertentu sebagaimana seseorang yang membaca kitab Hadith Sahih Bukhari tidak dapat dikatakan berguru dengan Rasulullah. Begitu juga jikalau kita mendengar rakaman kuliah seorang professor di Amerika melalui YouTube, tidak boleh dikatakan professor tersebut adalah guru kita.
5. Zakir Naik tokoh perbandingan agama
Dakwaan ini adalah benar jika dilihat kemahiran beliau mematahkan hujah lawan secara spontan dan pengalaman beliau yang luas walaupun mungkin tidak setinggi mana. Begitu juga dengan pengetahuan beliau tentang isu yang didebatkan.
Nampaknya, memang Zakir sudah membuat persiapan awal sebelum sesi debat dimulakan. Kemahiran berdebat beliau memang mengagumkan. Umumnya, pandangan atau pegangannya dalam ilmu perbandingan agama boleh diterima. Oleh itu, tidaklah salah jika Zakir dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah bagi mengenang kebolehan beliau.
Setakat ini belum ada tokoh Muslim yang berani ke hadapan seperti beliau. Kebolehan beliau ini sewajarnya dilihat sebagai satu kekuatan umat Islam dan mampu menjadi senjata yang ampuh jika Zakir diperkasakan dengan ilmu Islam yang sahih. Syabas dan seribu tahniah diucapkan buat Zakir.
Sungguhpun begitu, beliau bukanlah pakar rujuk ataupun tokoh dalam bidang khusus agama Islam sama ada pada bab Usuluddin, Syariah, Usul Al-Fiqh, Tafsir, Hadith, dan sebagainya. Kita perlu berhati-hati dan mengambil manfaat daripada seseorang itu berdasarkan bidang yang dimahirinya sahaja.
Seperti Firman Allah yang bermaksud hendaklah rujuk kepada ahlinya jika tidak tahu (Al-Nahl 16:43). Contohnya kereta yang rosak, maka hendaklah dihantar ke mekanik jangan dihantar ke tukang jahit. Tak mustahil kereta akan bertambah rosak dek tersadai berbulan-bulan atau “dijahit” oleh si tukang jahit. Jika sakit jumpa doktor bukan jumpa guru geografi. Begitulah perumpaannya.
6. Zakir Naik berfahaman wahhabi
Satu perkara yang mesti diketahui umum ialah, mereka yang berfahaman Wahhabi tidak akan sesekali mengaku Wahhabi. Slogan yang sering dilaungkan ialah Ittiba’ Al-Sunnah, iaitu mengikut Sunnah – ataupun berpegang dengan Al-Quran dan Sunnah.
Dalam pada itu, kita tidak boleh sewenang-wenangnya melemparkan tuduhan terhadap seseorang yang kita tidak bersetuju dengannya. Sama ada tuduhan Wahhabi, kafir, sesat, bidaah, syirik dan seumpamanya mestilah dielakkan dan jangan sesekali dijadikan kalimah zikir kita. Islam menuntut kita bersangka baik terhadap semua orang Islam kecuali terdapat tanda-tanda zahir yang ketara dan tidak memungkinkan untuk disalah-ertikan.
Perihal Zakir Naik ini, memang tidak dapat dinafikan beliau mempunyai kecenderungan kepada fikrah Wahhabi dari beberapa sudut:
Usuluddin: Kekeliruan dalam bab Tauhid. Beliau berpegang dengan akidah 3 serangkai, menisbahkan jihah (arah) dan tempat kepada Allah yang menatijahkan fahaman Tajsim dan Tasybih. Ini bertentangan dengan ahli Sunnah yang memahami Tauhid melalui Sifat 20 dan beriman bahawa kewujudan Allah itu tidak tertakluk kepada tempat, ruang, arah ataupun masa.
Syariah: Tidak beriltizam dengan mazhab yang ditadwinkan. Bahkan beliau memperlekehkan para imam mujtahid pendiri Mazhab sehingga mendakwa lebih memahami Sunnah daripada Imam Al-Syafi’ie dalam bab membatalkan wudhu jika tersentuh dengan golongan bukan mahram tanpa lapik.
Akhlak: Zakir dilihat gemar menyesatkan umat Islam bagi amalan yang beliau anggap bidaah seperti sambutan mawlid, tahlil arwah dan lain-lain. Beliau juga beranggapan amalan sedemikian mengundang syirik yang menghumbankan pengamalnya ke neraka.
7. Zakir mengislamkan ribuan orang
Angka sebenar yang memeluk Islam di tangan Zakir tidaklah sampai ribuan orang seperti yang dipropagandakan. Apa yang pasti ialah memang ramai orang menerima Islam melalui ceramah beliau.
Jasa Zakir dalam hal ini janganlah dilupakan. Walaubagaimanapun, hakikat ini tidak membenarkan fahaman yang dibawa Zakir. Nabi Nuh yang berdakwah lebih 10 abad hanya mempunyai pengikut seramai 80 orang mengikut riwayat Al-Suyuti. Adakah dengan segelintir pengikut ini membuktikan Nabi Nuh tidak benar?
Seorang lelaki di zaman Rasulullah, Abdullah Ibn Saad Ibn Abi Sarh, sendiri pernah murtad sebelum kembali kepada Islam. Adakah ini menunjukkan kebatilan Baginda atau kegagalan dakwah Baginda sebagai Utusan Allah?
Perisik Belanda, Christiaan Snouk Hurgronje yang menyamar sebagai seorang Islam dengan nama “Haji Abdul-Ghaffar” di Aceh pada 1981 dikatakan pernah mengislamkan beberapa orang bukan Islam dan menjadi pembantu Mufti Besar Batavia, Habib Usman Bin Yahya dalam bidang fatwa. Adakah ini bukti kebenaran beliau? Seadilnya, apa yang benar katakan benar dan apa yang salah hendaklah ditolak.
8. Zakir Naik mahir pelbagai bahasa
Dakwaan beliau berkebolehan berbahasa Arab sudah disentuh sebelum ini. Zakir hanya boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris dan Hindi (dan mungkin salah satu dialek/bahasa India yang lain).
Apa yang pasti, beliau tidak boleh berbahasa Ibrani, Sanskrit dan Latin. Ceramah beliau juga hanya disampaikan dalam Bahasa Inggeris.
9. Zakir Naik tokoh Maal Hijrah dan ramai pengikut
Perkara ini sudah dibincangkan sebelum ini. Anugerah Tokoh Maal Hijrah sememangnya sesuatu yang wajar sebagai satu bentuk pengiktirafan terhadap sumbangan beliau dalam dunia Islam walaupun beliau sendiri menganggap sambutan Maal Hijrah yang tidak pernah diraikan oleh Nabi sebagai bidaah.
Jumlah pengikut yang ramai tidak menjamin kebenaran seseorang atau sesuatu ideologi. Kumpulan teroris IS mempunyai pengikut yang ramai seluruh dunia. Adakah ini bermaksud IS itu satu kumpulan yang benar?
10. Zakir Naik dan kehamornian
Seadilnya, jika keberadaan beliau di Malaysia untuk menyampaikan kebenaran tanpa menjejaskan kestabilan politik tanahair dan kesejahteraan rakyat Malaysia, maka boleh sahaja bahkan dialu-alukan.
Tidak dapat dinafikan terdapat bantahan terhadap kehadiran beliau di negara ini. Sewajarnya, apa yang dibangkitkan oleh sesetangah pihak berkaitan Zakir hendaklah dipertimbangkan.
Tetapi, jika bantahan berkenaan perbandingan agama, maka tidak boleh diterima memandangkan ianya termasuk salah satu dari cabang disiplin ilmu Islam. Jika bantahan dibuat bersangkutan keselamatan negara, maka kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk bertindak. Tidak perlulah kita menjadi wira membuat perhimpunan membantah kehadiran beliau. Banyak lagi benda berfaedah yang seharusnya dibuat.
* Nurul Haq Shahrir mempunyai ijazah sarjana (MA) Fiqh dan Usul Al-Fiqh, di samping sarjana muda Syariah. Beliau juga berkelulusan STB, M.Div (USA) dan Licentiate (JCL – Juris Canonici Licentia) dalam bidang Teologi Kristian dan Kanun Gereja (Urbaniana).
 
Copyright © 2014 PenangKini.