BREAKING NEWS

Thursday, 23 March 2017

Annuar Musa tarik diri, TMJ menang automatik Presiden FAM


Tan Sri Annuar Musa mengumumkan penarikan diri daripada menjadi calon dalam pertandingan merebut jawatan presiden Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Ketua penerangan Umno yang juga ahli Parlimen Ketereh itu berkata pengumumannya itu sekali gus membolehkan Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim dilantik sebagai presiden FAM secara automatik.
“Setelah berfikir dengan mendalam. Saya membuat ketetapan untuk beri penghormatan untuk calon satu lagi, agar diberikan kemenangan tanpa bertanding dan diisytiharkan sebagai presiden FAM.
“Saya minta maaf, keputusan ini saya tidak bincangkan walaupun dengan isteri saya. Sebaliknya biarlah ia keputusan saya sendiri, setelah saya lakukan istikharah,” katanya pada sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.
Kongres FAM ke-53 yang dijadualkan berlangsung pada 25 Mac ini akan menyaksikan pemilihan jawatan utama bagi badan induk bola sepak negara itu.
Annuar pada 6 Februari mengesahkan pencalonannya untuk merebut kerusi panas FAM itu dalam pertembungan satu lawan satu dengan TMJ yang turut mengesahkan pencalonannya.
Dua lagi calon yang dinamakan sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan bekas ketua setiausaha Kementerian Dalam Negeri Tan Sri Aseh Che Mat, tidak mengesahkan pencalonan mereka sehingga tempoh pencalonan.
Annuar berkata keputusan menarik diri dibuat selepas melihat beberapa isu yang timbul antaranya tuduhan yang mengaitkan Kementerian Belia dan Sukan.

“Walaupun ada pertandingan, saya harapkan ia dalam suasana harmoni dan semangat penuh kesukanan. Ia hanyalah kepimpinan dalam badan sukan saja.
“Saya mengharap tiada lobi berlebihan, tiada kempen rasuah dalam keluarga besar FAM. Saya menolak sebarang bentuk proksi dalam kepimpinan FAM. Bagaimanapun suasana itu wujud, walaupun dalam sikap diam dan mengalah saya.
“Namun ia sedikit sebanyak membantu untuk mewujudkan keharmonian, kerana timbul spekulasi Khairy arahkan perwakilan memilih saya. Perkara ini tidak benar malah ia boleh jejaskan hubungan dengan Kementerian Belia dan Sukan,” katanya.
Annuar berkata beliau sendiri menghantar mesej teks kepada TMJ untuk memaklumkan mengenai pengundurannya pada hari ini, namun masih belum mendapat respons.
“Selepas tarikh tutup pencalonan, pengundi masih boleh mengundi saya kerana kertas undi sudah dicetak. Jadi, dalam masa 48 jam ini, saya harapkan pihak urusetia FAM boleh uruskan perkara ini,” katanya.
Annuar turut menafikan penarikan dirinya disebabkan terkait dengan isu penggantungan jawatannya dalam Majlis Amanah Mara (Mara).
“Tidak ada isu Mara dalam penarikan diri saya. Isu bola sepak tidak seharusnya dikaitkan dengan isu lain,” katanya.

 
Copyright © 2014 PenangKini.