BREAKING NEWS

Wednesday, 29 March 2017

Belum terima makluman pembangunan TUDM Butterworth



TASEK GELUGOR - Umno Tasek Gelugor sehingga kini masih belum menerima sebarang jawapan atau makluman mengenai isu pembangunan Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Butterworth yang mana ianya berlanjutan sejak lebih kurang empat tahun yang lalu.

Ketua Umno Bahagian Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya berkata, buat sehingga sekarang kerajaan Persekutuan tidak memaklumkan sebarang perkembangan mengenai projek pemindahan dan juga pembangunan TUDM Butterworth ini.

"Isu pembangunan TUDM Butterworth yang telah berlanjutan sejak lebih kurang empat tahun yang lepas, dan diantara perkembangan terakhir yang dimaklumkan kepada kita ialah bahawa setelah pihak kerajaan buat penelitian secara lebih mendalam terhadap cadangan tersebut dan sebagainya, kita dimaklumkan bahawa cadangan tersebut tidak begitu berdaya maju.



"Dan sehingga sekarang pihak kerajaan Persekutuan tidak memaklumkan apa-apa perkembangan bahawa projek itu akan diteruskan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis permuafakatan Kelab Warga Emas, Klinik Kesihatan Sungai Dua hari ini.

Katanya, pihaknya mengharapkan kerajaan persekutuan akan membuat keputusan atau mengumunkan perkembangan lanjut mengenai projek ini.

"Itu yang kita harapkan namun sehingga sekarang kita tidak mendapat apa-apa tanda bahawa projek itu telah pun diluluskan.

"Bagaimanapun ianya kembali kepada keputusan Kabinet dan juga kerajaan Persekutuan, namun setakat ini belum ada sebarang pengumuman," katanya.

Menurutnya, Umno Bahagian Tasek Gelugor masih kekal dalam soal tidak setuju akan pembangunan TUDM Butterworth ini.

"Kita tetap dengan keputusan kita tidak setuju dengan cadangan pemindahan tersebut, melainkan kerajaan memberi kepada kita suatu langkah yang menguntungkan dan tidak merugikan kawasan parlimen ini.

"Itu mungkin benda yang boleh kerajaan pertimbangkan tapi kalau katakan semata-mata pembangunan itu tanpa mengambil kira kepentingan sosio ekonomi penduduk setempat, di mana susunan demografi penduduk nak tinggal, apa persediaan tentang tapak dan kawasan rumah mereka kelak," katanya.

Tambahnya, malangnya perkara ini tidak pernah dibincangkan dan menjadi sebab pihaknya tidak bersetuju akan pembangunan TUDM Butterworth ini.

"Perkara berkaitan satu jaminan kepada penduduk asal di sini yang tinggal di kampung-kampung berdekatan tak pernah dibincangkan dan sebab itu kita tentang sebab kita jaga kepentingan penduduk penduduk di dalam kawasan parlimen ini.

"Apa yang kita tidak mahu adalah pembangunan berlaku, tiba-tiba penduduk yang sedia tinggal di kawasan itu yang mungkin tinggal lama, menetap lama dalam tempoh 50 hingga 60 tahun hilang tempat tinggal, dan ditempatkan di tempat yang tidak sewajarnya dan jadi ini sesuatu yang mengarut dan tak boleh jadi sebegitu," katanya.

Terdahulu, Umno Tasek Gelugor membantah cadangan penswastaan dan pemindahan tapak Pangkalan TUDM Butterworth bagi tujuan pembangunan, kerana mendakwa ia kawasan keselamatan yang strategik di negeri ini.

Pangkalan TUDM seluas 400 hektar itu adalah pangkalan utama di utara tanah air dan diwujudkan sejak 1941 selain pangkalan di Kuantan, Pahang.

Pangkalan TUDM Butterworth yang terletak di Teluk Air Tawar itu difahamkan akan dipindahkan ke kawasan Ara Kuda, Tasek Gelugor bagi memberi laluan kepada projek pembangunan semula kawasan berkenaan oleh pihak swasta.

Cadangan itu bagaimanapun sebelum ini mendapat bantahan pelbagai pihak termasuk  penduduk  sekitar kawasan itu.

Media sebelum ini melaporkan cadangan penempatan semula dan pembinaan semula pangkalan TUDM Butterworth akan dikendalikan oleh TSR Capital Berhad, yang merupakan usahasama antara Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan pembinaan Bukit Timah Sdn Bhd.
 
Copyright © 2014 PenangKini.