BREAKING NEWS

Wednesday, 8 March 2017

Bertakafur kenang MH370

Ahli Dewan Rakyat hari ini bertafakur seminit bagi memperingati genap tiga tahun tragedi kehilangan pesawat MH370 yang membawa bersama 239 penumpang dan anak kapal pada 8 Mac 2014.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ismail Mohamed Said, meminta wakil rakyat yang beragama Islam membaca surah al-Fatihah manakala Ahli Parlimen bukan beragama Islam bertafakur.

Terdahulu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, menyampaikan sesi penerangan mengikut peruntukan Peraturan Mesyuarat 14 (1) (i) bagi memperingati kehilangan pesawat malang itu.

Beliau berkata, tarikh 8 Mac 2014 tidak akan luput dari ingatan rakyat, waris dan keluarga penumpang serta anak kapal yang melalui hari-hari menyukarkan sejak 36 bulan lalu.

"Saban hari kita berharap dan berdoa supaya kita dapat mencari jawapan kepada tragedi ini kerana kita bertanggungjawab terhadap semua ahli keluarga dalam pesawat berkenaan.

"Pelbagai usaha digembleng di peringkat antarabangsa. Ia sudah tentu meruntun hati kita apabila misi pencarian tidak berhasil menemukan pesawat MH370," katanya.

Tiong Lai berkata, penggantungan misi pencarian pada 17 Januari lalu selepas lebih dua tahun setengah misi terbabit dilancarkan, adalah keputusan menyukarkan dan dikenang semua pihak terutama waris dan ahli keluarga mangsa.

"Keputusan yang dicapai bersama Kerajaan Australia dan China ini bukanlah diambil dengan ringan atau tanpa kepiluan.

"Penggantungan ini bukan bermakna pengakhiran dalam komitmen tidak berbelah-bagi negara untuk merungkai tragedi malang ini.

"Sungguhpun pencarian digantung sementara menunggu lebih banyak bukti lebih meyakinkan berdasarkan analisis data dan maklumat komprehensif yang diperoleh oleh kumpulan pakar di Australia, aspirasi mencari MH370 tidak pernah diabaikan," katanya.

-Berita Harian
 
Copyright © 2014 PenangKini.