BREAKING NEWS

Thursday, 30 March 2017

Bida Nombor Plat Khas RIMAU Serendah RM500


KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia berpeluang memiliki nombor pendaftaran ‘RIMAU’ setelah Jawatankuasa Penganjur Malaysia (MASOC) melancarkan penjualan tersebut.

Ia sebagai sebahagian daripada rancangan pemasaran dan promosi Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para Asean ke-9 di Kuala Lumpur pada Ogos dan September.

Bidaan akan dibuka secara rasmi mulai pada 1 April 2017 untuk sejumlah 10,000 nombor yang akan bermula daripada RIMAU 1 sehingga RIMAU 9999.

MASOC dalam satu kenyataan mengesahkan telah mendapat kebenaran daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk menggunakan nombot plat tersebut.

Orang ramai yang berminat boleh membuat bidaan di laman web www.kualalumpur2017.com.my pada harga RM500.

Semua pembidaan akan berlangsung secara atas talian iaitu melalui sistem e-bida dan hasil jualan nombor pendaftaran itu akan digunakan untuk penganjuran temasya tersebut.

Malaysia kali pertama menjadi tuan rumah Sukan SEA atau Sukan SEAP ialah pada 1965 dan sehingga edisi Singapura pada 2015, Malaysia telah menjadi hos sebanyak lima kali.

Kali terakhir Malaysia menganjurkan Sukan SEA ialah pada 2001 apabila muncul sebagai juara keseluruhan dengan merangkul 111 pingat emas, diikuti Thailand (103) dan Indonesia (72). – Agensi/Mynewshub.cc

 
Copyright © 2014 PenangKini.