BREAKING NEWS

Thursday, 9 March 2017

China Nasihatkan Korea Utara Gantung Aktiviti Nuklear

China yang bimbang dengan ketegangan semakin memuncak di semenanjung Korea, mencadangkan Korea Utara menggantung aktiviti nuklear dan peluru berpandunya manakala latihan perang yang dilakukan Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan dihentikan.

Menteri Luar China, Wang Yi berkata, kedua-dua pihak sebaliknya, harus mencari jalan penyelesaian di meja rundingan demi mengelakkan sebarang pertembungan kuasa yang hanya akan memburukkan keadaan.

“Memiliki senjata nuklear tidak akan menjamin keselamatan dan menggunakan kuasa tentera juga bukan jalan keluar yang terbaik.

“Masih terdapat peluang untuk meneruskan rundingan dan masih ada jalan lain untuk mengekalkan keamanan,” tegasnya.

Isnin lalu, Korea Utara melancarkan empat peluru berpandu balistik yang diselia sendiri oleh pemimpin negara berkenaan, Kim Jong-un dengan menjadikan pangkalan tentera AS di Jepun sebagai sasaran. Dalam pelancaran itu, tiga daripadanya jatuh ke perairan laut Jepun.

Majlis Keselamatan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengutuk keras tindakan Korea Utara itu dan melahirkan kebimbangan atas tindakan keterlaluan negara berkenaan.

Kenyataan itu mendapatkan kelulusan sebulat suara majlis berkenaan, di sebalik ketegangan hubungan antara AS dan China selepas Washington menghantar peralatan sistem antipeluru berpandu Pertahanan Terminal Kawasan Altitud Tinggi (THAAD) di Korea Selatan.

Majlis Keselamatan menyifatkan ujian peluru berpandu balistik sebagai mencabul resolusi PBB yang menyekat Korea Utara daripada membangunkan teknologi senjata dan berjanji untuk mengambil langkah sewajarnya.

Dalam pada itu, Yi menegaskan, Korea Selatan telah melakukan kesilapan besar apabila menempatkan sistem anti-peluru berpandu milik AS dan mendesak Seoul menghentikan tindakan itu.

Sementara itu, syarikat penyedia perkhidmatan pesanan kewangan berpangkalan di Belgium, SWIFT mengumumkan telah menghentikan perkhidmatannya kepada semua bank Korea Utara di bawah sekatan PBB berikutan berlakunya ketegangan antarabangsa yang semakin meningkat akibat tindakan agresif Pyongyang.- Reuters
 
Copyright © 2014 PenangKini.