BREAKING NEWS

Tuesday, 21 March 2017

DAP punca masa depan pembangkang gelap

Naib Presiden PAS, Dr Idris Ahmad menyelar parti rasis dan cauvinis, DAP yang tidak sudah-sudah menimbulkan kontroversi membabitkan isu Islam di negara ini.

Terbaru, kenyataan Ahli Parlimen Kuching, Chong Chieng Jen yang menggesa kerajaan membatalkan hasrat menghantar lebih 400 guru Islam ke Sarawak.

Chong mendakwa, tindakan itu mengancam keharmonian kepelbagaian kaum di negeri itu, termasuk menimbulkan ketaksuban agama.

“Gelagat yang ditunjuk DAP merupakan masa depan gelap untuk pembangkang.

“Ia memberikan keyakinan lagi pada UMNO dan BN dengan tindakan Chong yang bercakap tentang menyekat kemasukan guru agama Islam Semenanjung ke Sarawak.

“Yang beri umpan pada BN ialah DAP. Itu tindakan tak cerdik,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai dakwaan yang sering mengaitkan UMNO dengan PAS, Idris berkata, pihak yang membuat tuduhan itu akan ‘mati’ jika tidak melaga-lagakan kerjasama antara kedua-dua parti.

“Mereka akan guna dakwaan ini sampai kiamat. Sudah lapan tahun tuduhan PAS akan bekerjasama dengan Umno. Sejak 2008 lagi dan mereka tahu kalau PAS tidak masuk UMNO modal mereka akan mati.

“Mereka tidak ada perjuangan dan modal lain selain daripada dakwaan PAS akan sertai UMNO,” katanya.

Reaksi itu timbul selepas diajukan desas-desus UMNO akan menyerahkan beberapa negeri kepada PAS untuk ditadbir selepas pilihan raya.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang didakwa berkata negeri-negeri yang diserahkan itu adalah Kedah, Perak, Selangor, Kelantan dan Terengganu dengan menegaskan kerjasama politik itu penting demi kekuatan Melayu-Islam.

Bagaimanapun Hadi tampil menafikan dakwaan berkenaan pada semalam, dengan menegaskan PAS bertanding pada pilihan raya akan datang adalah untuk mencapai kemenangan.
 
Copyright © 2014 PenangKini.