BREAKING NEWS

Wednesday, 22 March 2017

DAP tak berminat dengan Idea Mahathir

Sudah tersurat bagai dikata, DAP akhirnya membuat keputusan untuk menolak cadangan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang mahu pakatan pembangkang, Pakatan Harapan (PH) mengikut cara Barisan Nasional (BN) bergerak sebagai satu gabungan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti.

DAP mengumumkan perkara itu melalui Setiausaha Organisasi Kebangsaan, Anthony Loke dalam satu sidang media di Parlimen, hari ini.

Perkara itu, menurutnya tidak sepatutnya disebut semula dalam PH kerana semenangnya kesemua parti dalam pakatan itu mengambil keputusan secara bersama dalam apa juga keadaan.

“Memang dalam PH kita buat keputusan melalui perbincangan. Selepas kita kerjasama dengan PPBM (Parti Pribumi Bersatu Malaysia), semangat ini akan diteruskan tidak timbul kita akan ikut acuan BN tetapi dalam PH memang budaya sebegitu sudah dibentuk,” katanya dalam sidang media berkenaan.

Hadir sama Penasihat DAP, Lim Kit Siang serta Ahli Parlimen DAP-Kluang, Liew Chin Tong yang turut membuat lawatan di bilik media di Parlimen.

Mahathir yang merupakan Pengerusi PPBM sebelum ini menasihati pembangkang supaya mengikut cara BN iaitu bergerak sebagai satu gabungan dan itu adalah rahsia kemenangan mereka dalam arena politik.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, kaedah BN digunakan sejak penubuhan parti Perikatan lagi sehingga berjaya membentuk kerajaan.

Berbeza dengan gabungan pembangkang yang tidak pernah bersatu secara serius, sebaliknya lebih suka menonjolkan parti masing-masing, katanya.

“Dalam PH sebelum ini kita memang ada konsensus bahawa apa-apa keputusan perlu dibuat secara bersama dan tidak timbul soal banyak pertelingkahan antara parti,” katanya menjawab kenyataan bekas perdana menteri itu.

Lebih menarik, Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata PH digesa agar tidak bergerak berasingan dalam pelbagai aspek bagi mencerminkan gabungan itu mampu untuk menggantikan BN.

Ujarnya perpecahan dalaman yang berlaku dalam parti-parti pembangkang ini dilihat punca rakyat menolak pembangkang.
 
Copyright © 2014 PenangKini.