BREAKING NEWS

Wednesday, 8 March 2017

DAP tiada Prinsip


KUALA LUMPUR 7 Mac – Rakyat perlu menolak DAP yang disifatkan sebagai sebuah parti politik tidak bermaruah dan tiada prinsip.

Perkara itu ditegaskan oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berikutan sikap dwi standard yang diamalkan Penasihat DAP, Lim Kit Siang apabila sesuatu isu itu membabitkan ahli keluarga sendiri.

Mohd. Puad membangkitkan perkara itu sebagai reaksi balas kepada kenya­taan Kit Siang yang mempersoalkan kepemimpinan Menteri Besar Johor berhubung siasatan kes penyelewengan hartanah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di negeri itu.

Menurut Mohd. Puad, nada Kit Siang bagaimanapun berbeza sama sekali terhadap kes anak­nya, Lim Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang apabila didakwa di mahkamah berhubung isu rasuah.

 “Kit Siang masih mahu anaknya pegang jawatan Ketua Menteri walaupun telah didakwa kerana kes rasuah. Jika parti politik lain, sudah pasti Guan Eng akan dipaksa meletak jawatan atau bercuti panjang dan diganti oleh orang lain. “Disebabkan amalan politik Kit Siang yang tidak ada maruah dan prinsip, maka saya menyeru seluruh rakyat menolak DAP yang di­pimpin beliau dan keluarganya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sejak Sabtu lalu, tujuh lelaki termasuk anak dan pegawai khas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Abd. Latiff Bandi ditahan kerana disyaki terlibat dalam ra­suah dan penyelewe­ngan hartanah.

Berikutan itu, Abd. Latiff yang difahamkan telah disoal siasat oleh SPRM berhubung kes berke­naan telah membuat permohonan cuti ketika bertemu Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk satu tempoh tertentu.

Situasi itu berbeza dengan Guan Eng yang menghadapi pertuduhan rasuah di mahkamah sejak tahun lalu berhubung kes pembelian bang­lo di bawah nilai pasaran di Pulau Pinang.

Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatan itu bukan sahaja tidak bercuti, malah sehingga kini masih meneruskan tugas beliau seolah-olah tiada apa yang berlaku.

Mengulas lanjut, Mohd. Puad mendakwa ‘Dinasti Lim’ yang merujuk kepada keluarga Kit Siang telah lama bermaharajalela dan mengamalkan sikap kuku besi termasuklah dalam pentadbirannya di Pulau Pinang. -UO
 
Copyright © 2014 PenangKini.