BREAKING NEWS

Friday, 31 March 2017

DARI PYONGYANG KE KUALA LUMPUR: SEMBILAN RAKYAT MALAYSIA SELAMAT PULANG

Sembilan rakyat Malaysia yang sebelum ini dihalang daripada meninggalkan Pyongyang, Korea Utara, selamat tiba di tanah air awal pagi ini.
Sembilan rakyat Malaysia itu yang antaranya merupakan petugas kedutaan Malaysia di Pyongyang dan ahli keluarga masing-masing sebelum ini dihalang daripada meninggalkan negara tersebut berikutan perbalahan diplomatik antara Kuala Lumpur dan Pyongyang.
Mereka ialah Setiausaha Duta, Noor Saaidah Jamaluddin, 29, suaminya Mohd Radzuan Othman, 29, serta bayi mereka Mohamad Radhiy berusia lapan bulan, Pegawai Tadbir, S. Nirmala Malar, 45, Kaunselor, Mohd Nor Azrin Md Zain, 37, isterinya, Iza Karmila Ramli, 35, serta tiga anak iaitu Annur Zulaikha, 6, Aynur Zhafirah, 5, dan Ayscha Zinnirah, 3.
Ketibaan mereka disambut oleh Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dan ahli keluarga kesembilan rakyat Malaysia yang pulang ke tanah air. 
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kenyataan beliau pada hari Khamis memaklumkan bahawa sembilan rakyat Malaysia yang dihalang meninggalkan Korea Utara dibenarkan pulang ke tanah air.
Menerusi laman twitter beliau, Najib menulis “Alhmadulillah Pesawat Khas membawa pulang 9 rakyat Malaysia telah keluar ruang udara Korea Utara. Krisis diplomatic sudah berakhir.”
Susulan perkembangan itu, Najib berkata Malaysia kini membenarkan rakyat Korea Utara meninggalkan negara ini.
Ketegangan Malaysia dan Korea Utara timbul berikutan pembunuhan Kim Jong-nam, abang pemimpin negara itu Kim Jong-un, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Februari lepas.
 
Copyright © 2014 PenangKini.