BREAKING NEWS

Monday, 20 March 2017

Giliran PAS Bayan Baru putus hubungan dengan PKR


GEORGE TOWN: Perwakilan PAS Bayan Baru semalam meluluskan usul menggesa PAS memutuskan hubungan dengan PKR, beberapa jam selepas PAS Permatang Pauh mengambil ketetapan membatalkan kerjasama politik dengan PKR di kawasan itu.
Yang Dipertua PAS Bayan Baru, Iszuree Ibrahim berkata antara sebab kerjasama politik dengan PKR perlu dibatalkan ialah kerana ia “tidak sedikit pun menghormati” PAS ketika menganggotai Pakatan Rakyat, di samping “secara terang-terangan mencampuri urusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang”.

“PKR tidak mampu menjadi rakan yang baik, tidak memberi nilai hatta merosakan usaha memartabatkan Islam dan tidak menghormati persahabatan, kerjasama serta bantuan jentera PAS selama ini dalam pilihan raya lalu sejak tahun 1999 sehingga 2013 yang telah diberi oleh PAS kepada PKR,” katanya.

PAS bakal mengadakan muktamar tahunannya pada Jun ini, dilihat penting dalam usaha parti itu membuat persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-14 tanpa kerjasama Pakatan Rakyat.
Pakatan Rakyat yang pernah menggabungkan PAS, DAP dan PKR itu dimansuhkan pada 2015, selepas PAS menyerang DAP yang membantah pendiriannya mahu melaksanakan hukum hudud di Kelantan.

PAS juga enggan menyertai Pakatan Harapan yang turut dianggotai parti serpihannya Amanah, dan belum membuat keputusan jelas sama ada mahu bekerjsama dengan PKR atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Iszuree yang sebelum ini tidak diperbaharui jawatannya sebagai ahli majlis Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) oleh kerajaan negeri, turut menyatakan kekesalan atas sikap Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak membelanya.

“Tindakan DAP memecat pimpinan PAS dan ahli PAS di Pulau Pinang seperti pemecatan ahli Majlis MPPP pada tahun 2014 tanpa merujuk kepada PAS ketika itu tanpa sebab yang munasabah dan tidak memberi pembelaan sewajarnya oleh PKR… Anwar Ibrahim ketika itu ada mengeluarkan kenyataan tidak akan memberi pembelaan kepada pemecatan berkenaan,” kata Iszuree merujuk dirinya.
Beliau turut menyentuh sokongan PKR kepada Amanah dan DAP di beberapa pilihan raya termasuk di Sarawak, di samping menuduh exco hal ehwal agama dari PKR, Datuk Abdul Malik Abul Kassim, mengikut telunjuk DAP dalam soal pentadbiran agama.

“Tindakan tidak bertanggungjawab exco agama dari PKR ini telah menunjukkan kepentingan politik DAP lebih diutamakan mendahului kepentingan Islam,” tambahnya.
Usul PAS Bayan Baru itu selang beberapa jam keputusan PAS Permatang Pauh untuk mencabar PKR pada pilihan raya umum akan datang.

Kerusi Permatang Pauh kini disandang isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Yang dipertua PAS Permatang Pauh Omar Hassan turut membuat dakwaan sama membabitkan Malik, dan menuduh PKR gagal mempertahankan Islam di negeri itu.
“Terdapat beberapa fatwa yang dilengahkan/ditangguhkan oleh PKR dan DAP melalui exco agama,” katanya.
 
Copyright © 2014 PenangKini.