BREAKING NEWS

Wednesday, 15 March 2017

GPMS gesa polis ambil tindakan



PERAI - Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Pulau Pinang menggesa polis supaya mengambil tindakan terhadap bekas Adun Batu Uban, S Raveentharan yang mengeluarkan kenyataan berunsur perkauman pada laman Facebook miliknya.

Ketua Penerangan GPMS Pulau Pinang, Azdy Mohd Arshad berkata, kenyataan tersebut seolah-olah provokasi ke atas agama Islam dan seluruh umat Islam.

Menurutnya, GPMS Pulau Pinang memandang serius kenyataan yang dibuat oleh Raveentharan memandangkan beliau adalah bekas Adun dan seorang yang berpengaruh serta merupakan pemimpin parti politik.

“Setiap kenyataan, desakan dan seruan yang dibuat mampu mempengaruhi pengikut beliau.
"Malah mampu membangkitkan semangat membenci Islam serta mencetuskan suasana tidak harmoni di kalangan masyarakat,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Raveentharan yang juga seorang pengamal undang-undang dikatakan memuat naik kenyataan ‘Firstly Islam was never a religion of peace’ sebelum dia membuat ubah suai dengan menambah tanda soal di hujung ayat berkenaan.
Ekoran daripada itu, dia menerima kecaman dan teguran daripada netizen atas kenyataan yang dimuat naik sebelum dia bertindak memadam kenyataan tersebut.

Tidak lama kemudian, Raveentharan melalui akaun Facebook  beliau juga membuat permohonan maaf kepada semua rakan Muslim atas kenyataan yang dimuat naik olehnya sebelum ini.
Azdy berkata, Raveentharan perlu bertanggungjawab atas kenyataan yang dikeluarkan.

"GPMS Pulau Pinang menggesa agar siasatan segera dijalankan ke atas Raveentharan.
"Tindakan ini supaya ia menjadi pengajaran dan amaran buat mana-mana pihak yang cuba mewujudkan suasana tidak harmoni dan mencetuskan konflik agama dalam negara kita," katanya.

 
Copyright © 2014 PenangKini.