BREAKING NEWS

Monday, 6 March 2017

Harimau Malaysia dilarang ke Korea Utara

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkata kerajaan melarang skuad Harimau Malaysia ke Pyongyang bagi menghadapi perlawanan kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Korea Utara pada 28 Mac ini.

Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata FAM menerima maklumat itu daripada Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar pagi tadi.
Beliau berkata FAM dimaklumkan arahan terbaru itu dikeluarkan selepas ia diputuskan dalam mesyuarat Kabinet baru-baru ini.

“Arahan itu juga disusuli surat daripada Kementerian Belia dan Sukan ditandatangani ketua setiausahanya, Datuk Lokman Hakim Ali, tengah hari ini.
“Arahan itu menyatakan kerajaan Malaysia bersetuju supaya skuad Harimau Malaysia tidak mengambil bahagian dalam perlawanan di Pyongyang atas dasar dan pertimbangan faktor keselamatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum itu, Khairy berkata akan berbincang mengenai perlawanan antara Malaysia dan Korea Utara di Pyongyang 28 Mac depan, dengan lokasi perlawanan diubah jika terdapat ancaman keselamatan.
Malah, Malaysia juga akan meminta AFC memantau keadaan keselamatan di Pyongyang susulan hubungan diplomatik antara Kuala Lumpur dan Pyongyang sedang melalui fasa yang agak rumit pada masa ini.

Skuad Harimau Malaysia dijadualkan menentang Korea Utara dalam perlawanan pusingan 3 kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Kim Il Sung, Pyongyang.

Hubungan diplomatik Malaysia dan Korea Utara tegang ekoran kes pembunuhan Kim Jong Nam, abang sebapa pemimpin Korea Utara di klia2 pada 13 Februari lalu.

Keadaan semakin tegang apabila pada Sabtu lalu, Malaysia mengusir keluar Duta Korea Utara ke Malaysia, Kang Chol hingga menjadikan situasi semasa tidak selamat untuk warga Malaysia berkunjung ke Korea Utara buat masa ini.

Hamidin berkata berdasarkan arahan terbaru itu, FAM menghantar surat makluman kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sebentar tadi.

“Surat itu dihantar untuk sekali lagi memohon AFC supaya lokasi perlawanan tersebut ditukar dari Pyongyang ke tempat lain iaitu gelanggang berkecuali atas dasar keselamatan.

“Saya juga menghubungi Setiausaha Agung AFC Datuk Windsor John yang kini di Kemboja, memaklumkan harapan persatuan supaya AFC memberi pertimbangan sewajarnya dan buat keputusan segera mengenai venue baharu perlawanan bagi memudahkan persiapan perjalanan skuad Harimau Malaysia yang akan memulakan latihan pada 13 Mac ini,” katanya.

 
Copyright © 2014 PenangKini.