BREAKING NEWS

Monday, 6 March 2017

Hishammuddin tak mahu layan Dr M

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein tidak mahu melayan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa kerjasama antara tentera China dan Malaysia boleh mengundang kemarahan Amerika Syarikat.
Menepis dakwaan itu sebagai lapuk, Hishammuddin berkata dakwaan seperti itu timbul apabila negara menjalin kerjasama ketenteraan dengan negara kuasa besar.
Hakikatnya, kata menteri, Malaysia mempunyai fokus dan matlamat tersendiri dalam kerjasama ketenteraan seperti itu.
“Ada negara hendak bekerjasama dengan kita, yang penting ia dilakukan untuk kepentingan negara sendiri,” katanya kepada pemberita di luar Dewan Rakyat hari ini.
“Saya dengar tuduhan ini sejak kita beli helikopter tempur ringan jenis MD-530G daripada syarikat Mcdonnell Douglas. Dulu kita dituduh menjual dan menggadaikan negara kepada Amerika Syarikat.
“Bila kita dan China membuat keputusan untuk bina kapal misi pesisir (LMS), kita dituduh menjual negara kepada China pula.
“Isu ini tidak akan habis,” katanya.

Hishammuddin berharap kunjungan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud ke Malaysia baru-baru ini tidak berdepan dakwaan yang sama.
Dr Mahathir sebelum ini memberi amaran kerjasama ketenteraan Malaysia dan China yang terlalu rapat boleh menyebabkan negara terheret ke dalam politik antara China dan Amerika Syarikat.
Bekas perdana menteri itu merujuk kepada satu perjanjian yang ditandatangani Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semasa melawat Beijing November lalu, di mana kedua negara bersetuju mengadakan lebih banyak kerjasama ketenteraan di Laut China Selatan.
Dr Mahathir berkata projek bersama bersifat ketenteraan seperti pembinaan pangkalan tentera laut atau keberadaan tentera China di sini akan menarik perhatian AS.
“Sejak merdeka, kita tidak pernah menyebelahi mana-mana negara tetapi Najib kini berpihak kepada musuh AS.
“Ia hanya pendapat saya, tetapi ada kemungkinan kita diheret ke dalam perang antara China dan AS,” katanya di ceramah anjuran PAS baru-baru ini.
Untuk rekod, Malaysia mempunyai hubungan ketenteraan dengan United Kingdom, Australia, New Zealand dan Singapura melalui Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA).
Malaysia juga menjalin kerjasama ketenteraan dengan Amerika Syarikat melalui Latihan dan Kerjasama Kesediaan di Laut (Carat) dan dengan China melalui Kerjasama Aman-Youyi.
 
Copyright © 2014 PenangKini.