BREAKING NEWS

Tuesday, 28 March 2017

Isu Felda Dimanipulasi: Ini Jawapan Pencerahannya

MENJELANG Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, Felda menjadi idaman dan kesayangan pihak pembangkang konon ingin jadi juara dalam memperjuangkan isu yang berkaitan skim tanah itu.

Walhal perbincangan hal ehwal Felda di peringkat Barisan Nasional (BN) dari awal penubuhan tidak pernah bermusim, selain perihal jatuh bangun serta suka duka selain cerita kejayaan dan kegagalan cukup panjang.

Kisah sebenar ini perlu dijelaskan kepada warga Felda bahawa Kerajaan BN tetap bersama malah tidak masuk akal jika pihak kerajaan itu sendiri ingin melakukan sesuatu tindakan memusnahkan skim rancangan mega tersebut.

Justeru Program Ramah Mesra Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim bersama-sama Warga Felda Wilayah Jengka di Jengka 4, Pahang pada 25 Mac lalu telah menjelaskan beberapa perkara berbangkit.

Ia meliputi beberapa perkara iaitu:

1. PENSTRUKTURAN SEMULA FELDA

– Disusun semula supaya mempunyai rangka struktur yang lebih jelas sebagai sebuah syarikat meliputi segala untung rugi sesuai sebagai sebuah firma perniagaan yang bertaraf antarabangsa.

– Felda Technoplant (FTP) sebagai contoh yang urus hampir 440,000 hektar tidak ambil sebarang untung dalam operasi mengurus sebaliknya dilihat lebih tanggungjawab sosial korporat menyebabkan kecekapannya merosot.

– Penstrukturan FTP kepada sebuah syarikat akan meningkatkan mutu dan moral pekerjanya untuk memastikan daya kecekapan dalam menguruskan ladang pertanian komoditi secara lebih teratur.

2. BAYARAN BUAH TANDAN SEGAR (BTS)

– Isu ini tidak melibatkan semua warga Felda. Daripada 112,000 peneroka, cuma 16,000 peneroka pilih untuk keluar daripada pengurusan Felda dengan tanam dan urus ladang sendiri terutama di Kelantan seperti Felda Kemahang.

– Baki 97,000 peneroka masih tetap bersama FELDA dan majoriti mereka menyerahkan kepada Felda 100% untuk diuruskan melibatkan pembayaran sebulan sekali dan mereka juga tiada masalah dengan sistem pembayaran.

– Masalahnya ada kelompok yang pada awalnya memilih untuk bersama Felda bermula dari penanaman semula dan menerima sara hidup sebaliknya memilih untuk menguruskan sendiri dan tidak bersama FELDA.

– Kelompok ini memerlukan wang untuk belanja pengurusan ladang dan keperluan peribadi. Justeru Razali sedia membawa perkara ini untuk dipertimbangkan Perdana Menteri sendiri selaku Menteri Felda.

– Antara penyelesaiannya ialah mereka diberikan pendahuluan namun pembayaran tetap dilakukan sebanyak dua kali sebulan. Bakinya akan ditolak berdasarkan jumlah BTS yang dihantar.

– Felda Jengka 4 akan dijadikan ‘pilot project’ bagi menangani masalah kelompok yang terjejas tetapi ia bukanlah dasar FELDA buat masa ini namun kerajaan akan melihat keberkesanannya.

– Pembayaran secara mingguan akan menyebabkan Pengurus Felda yang sepatutnya melakukan tugas mengurus hal ehwal tanah rancangan terganggu kerana terpaksa dalam masa yang sama urus pembayaran BTS secara mingguan.

– Pembayaran secara mingguan juga melibatkan soal keselamatan seperti isu jenayah kecurian dan rompakan.

3. HUTANG PENEROKA

– Arahan telah pun dikeluarkan kepada pihak pengurusan Felda supaya perincian penyata yang dahulunya sebanyak 13 penyata dijadikan kepada hanya 1 penyata bakal diberikan kepada peneroka.

– Maklumat diperlukan untuk memuktamadkan jumlah sebenar hutang peneroka dan mereka yang merasakan jumlah adalah terlalu tinggi perlu berjumpa sendiri dengan pengurus di rancangan masing-masing.

– Peneroka perlu mengemukakan bukti bagi menunjukkan berapakah hutang sebenar mereka. Penyelesaian kepada masalah ini secara jangka masa panjang adalah Felda melalui FTP perlu mendekati golongan peneroka.

– Ini terutama peneroka yang memilih untuk menguruskan ladang sendiri namun kembali menyerahkan kepada pihak FTP, tetapi ia dengan syarat FTP terlebih dahulu perlu meningkatkan efisiensi mereka.

– Penyelesaian jangka pendek Felda memberikan peneroka wang pendahuluan bagi mereka menguruskan ladang dan hal peribadi tetapi bayaran tetap dilakukan 2 kali sebulan dan baki ditolak pendahuluan yang telah diambil.

– Bagaimanapun langkah ini hanya melibatkan kawasan rancangan yang terjejas dan bukan melibatkan keseluruhan rancangan Felda yang kekal selamat atau tidak terjejas.

4. PERUMAHAN GENERASI KEDUA FELDA (PGBF)

– Sebanyak 11,000 buah rumah masih belum dilaksanakan daripada 20,000 yang disasarkan manakala bakinya telah dilaksanakan sama ada yang telah diduduki mahupun yang terbengkalai.

– Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) telah diminta untuk bekerjasama dengan Felda bagi melaksanakan PGBF. Walaupun SPNB hanya membina rumah tetapi Felda pula akan membina prasarana berkaitan perumahan.

– Pemberian tanah-tanah lot akan dipertimbangkan berdasarkan kepada kemuafakatan kepimpinan setempat kerana bukan semua tanah rancangan sesuai dilaksanakan PGBF.

5. PENJELASAN ISU DIMAINKAN PEMBANGKANG

– Pembangkang diketahui berniat secara tersirat untuk memecahkan perpaduan dalam kalangan peneroka Felda kerana menyedari kawasan Felda adalah kubu kuat BN sejak sekian lama.

– Tabung Haji, Mara dan LTAT pernah menjadi sasaran pembangkang kerana di situ terletak kekuatan bangsa Melayu dan Felda turut tidak terlepas daripada sasaran tohmahan.

– Pemimpin PKR, Rafizi Ramli sebagai contoh telah mengemukakan laporan kewangan Felda 2014 konon tentang kehilangan RM100 juta walhal yang sebenarnya ia tidak hilang sebaliknya dicatatkan kegunaan PGBF.

– Wang itu diberikan subsidi yang tidak perlu diletakkan di dalam penyata. Begitu juga isu pelaburan di dalam syarikat perladangan Rajawali di Indonesia yang dikatakan telah menggunakan wang FELDA adalah tidak benar.

– Penguasaan 37% saham didakwa konon membeli dengan harga tinggi sebanyak AS$505 juta dan 172% lebih tinggi daripada harga premium pasaran juga menunjukkan kedangkalan pembangkang berfikir.

– Isu pembelian itu bukanlah berdasarkan kepada premium harga tetapi saiz tanah yang bakal dimiliki berjumlah 320,000 hektar dan daripada jumlah itu pula 145,000 hektar merupakan pokok yang hampir matang.

– Purata RM16,000 seekar tanah di Indonesia adaah transaksi yang paling murah di Indonesia jika hendak dibandingkan pengeluaran hasil tanah 10 ekar mencecah purata 32 tan kerana faktor kesuburan tanah.

– Ia agak berbeza berbanding di Malaysia yang purata maksimum hanya sekitar 25 tan sahaja bagi setiap 10 ekar. Harga sawit pula semakin baik berikutan faktor cuaca El Nino menyebabkan tiada lambakan pengeluaran.

– Lawatan Datuk Seri Najib Tun Razak ke China baru-baru ini malah telah membawa kepada peningkatan jumlah import minyak sawit dari Malaysia yang dahulunya banyak dibeli dari Indonesia.

– Harga sawit yang telah stabil kebelakangan ini berikutan penubuhan Majlis Pengeluar Minyak Sawit Dunia secara tidak langsung telah meningkatkan hasil kumpulan Felda termasuk FGV.

KESIMPULAN

Hakikatnya sejak tahun 1996, Felda tidak pernah menerima apa-apa peruntukkan daripada Kerajaan Persekutuan berbanding agensi lain seperti RISDA, FELCRA dan KEJORA sekali gus menunjukkan kebolehupayaan Felda.

Walaupn menghadapi tohmahan, Felda tetap memberikan pinjaman kepada peneroka melalui skim tanaman semula dan wang sara hidup; sesuatu yang tidak dirasai oleh mana-mana pekebun kecil di bawah agensi tanah lain.

Sehingga kini Felda memberikan hutang kepada peneroka lebih RM1.4 bilion yang melibatkan hutang operasi antaranya kos tanam semula dan kos sara hidup. Ini tidak termasuk hutang pembinaan rumah dan pendidikan.

Justeru, renungkanlah segala tohmahan liar dilemparkan oleh pembangkang jelas terbukti hanya agenda permainan politik jahat mereka demi meraih undi menjelang PRU ke-14 yang akan datang.

MyNewsHub
 
Copyright © 2014 PenangKini.