BREAKING NEWS

Thursday, 16 March 2017

Jabatan Imigresen KLIA terbaik dalam tinjauan lapangan terbang dunia


KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) memenangi kategori Perkhidmatan Imigresen Lapangan Terbang Terbaik menerusi Anugerah Lapangan Terbang Terbaik Dunia 2017.
Keputusan itu berdasarkan undian pelancong yang melepasi kaunter pemeriksaan imigresen di KLIA.
Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong pula menduduki tangga ke-2, disusuli Lapangan Terbang Haneda di Tokyo, Lapangan Terbang Zurich dan Lapangan Terbang Narita di Tokyo.
Anugerah Lapangan Terbang Terbaik Dunia dianggap anugerah berprestij bagi lapangan terbang dunia berdasarkan tinjauan tahunan terbesar ke atas pengunjung lapangan terbang di seluruh dunia.
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) menduduki tempat ke-3 dalam kategori Terminal Lapangan Terbang Terbaik Dunia untuk syarikat penerbangan tambang murah.
Terminal 3 Lapangan Terbang Narita di Tokyo mengungguli tempat pertama, diikuti Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai.
Dalam kategori Petugas Lapangan Terbang Terbaik Dunia, Malaysia menduduki tempat ke-7.
Anugerah ini mengambil kira sikap, keramahan dan kecekapan kakitangan bertugas di lapangan terbang.
Lapangan Terbang Antarabangsa Taoyuan di Taiwan menduduki tempat pertama, diekori Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon di Seoul, Haneda di Tokyo, Changi di Singapura dan Centrair di Nagoya.
Secara keseluruhan, KLIA berada di tempat ke-34 dalam kategori Lapangan Terbang Terbaik Dunia 2017.
Lapangan Terbang Changi di Singapura terus unggul di tempat pertama untuk tahun ke-5 berturut-turut, dengan Haneda di tempat ke-2 dan Incheon ke-3.
Ini adalah kali ke-8 Lapangan Terbang Changi memenangi anugerah itu sejak ia diperkenalkan pada 2000.
Anugerah ini dinilai berdasarkan undian 13.82 juta pengunjung di 550 lapangan terbang seluruh dunia.
Tinjauan berdasarkan pelbagai aspek prestasi, termasuk pendaftaran masuk, ketibaan, pemindahan, kemudahan, keselamatan dan imigresen, dijalankan Skytrax.
Skytrax yang berpangkalan di London, menjalankan kaji selidik tentang produk kualitatif, audit perkhidmatan dan penumpang bagi syarikat penerbangan dan sekutu mereka, lapangan terbang serta pembekal pengangkutan udara berkaitan di seluruh dunia.
10 kedudukan teratas Anugerah Lapangan Terbang Terbaik Dunia 2017:
  1. Lapangan Terbang Changi Singapura
  2. Lapangan Terbang Tokyo (Haneda)
  3. Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon
  4. Lapangan Terbang Munich
  5. Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong
  6. Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad
  7. Lapangan Terbang Antarabangsa Central Japan
  8. Lapangan Terbang Zurich
  9. Lapangan Terbang Heathrow London
  10. Lapangan Terbang Frankfurt
FMT
 
Copyright © 2014 PenangKini.