BREAKING NEWS

Thursday, 23 March 2017

“Jika Sumber Air Dari Tuhan Kenapa Kerajaan Dap P.Pinang Jual Air Kepada Kapal-kapal?” – Ahmad Bashah


ALOR SETAR, 23 Mac – “Memang sumber air datangnya dari Tuhan tetapi kos merawat air ditanggung oleh kerajaan negeri Kedah. Jadi pemimpin Dap Pulau Pinang jangan beri alasan kurang bijak”, demikian reaksi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah terhadap pentadbiran Dap Pulau Pinang yang mempertikaikan isu air.
“Saya lihat mereka ini hanya fikir tentang mereka sahaja tetapi tidak fikir tentang kami. Jika mereka mengatakan sumber air dari Tuhan jadi mengapa mereka menjual air kepada kapal-kapal dan lain-lain… mengapa mereka mengenakan bayaran kepada rakyat?
“Mereka harus sedar, Kedah terpaksa menanggung kos merawat air dan sebagainya.. jadi janganlah sombong,” katanya
Menurut beliau walaupun hubungannya secara peribadi dengan Ketua Menteri Pulau Pinang baik namun hubungan antara kerajaan dengan kerajaan tidak berjalan lancar.
“Maka ini menjadi punca jalan penyelesaian terhadap isu air ini menjadi sukar. Selagi mereka tidak mahu datang bincang, kita biar saja isu ini.
“… lihat saja la sejauh mana depa (mereka) mahu degil,” ujarnya lagi.
Jelasnya, kerajaan Pulau Pinang seharusnya menghantar wakil untuk berbincang secara baik berkaitan sumber bekalan air mentah yang dibekalkan oleh negeri Kedah kepada Pulau Pinang dan bukannya hanya menuding jari dan tahu meminta sahaja.
“Mereka tahu meminta tapi tidak mahu datang berbincang… kita kena ada ‘win win situation’ dalam perkara ini.
“Ini tidak… tiada seorang wakil pun yang mahu datang berbincang tetapi mereka asyik mencari salah kita,” katanya.
Kerajaan Dap Pulau Pinang menerusi Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. (PBAPP) sebelum ini sentiasa mendesak kerajaan Kedah untuk menyelesaikan isu bekalan air ke negeri tersebut.
Bagi Kerajaan Negeri Kedah mereka  kini hanya menunggu keajaan Dap Pulau Pinang untuk datang dan berbincang dengan Kerajaan Negeri untuk bermuafakat berhubung isu tersebut demi kepentingan rakyat.
Namun sayangnya kerajaan pimpinan Dap itu memberi alasan bahawa sumber air itu datangnya dari Tuhan dan tidak sepatutnya menjadi isu kepada Kerajaan Negeri Kedah untuk menidakkan hak negeri Pulau Pinang. 


 
Copyright © 2014 PenangKini.