BREAKING NEWS

Friday, 3 March 2017

“Kenapa Pula Dahulu Tiada Pula Tuduhan Kerajaan Jual Negara Kepada Jepun?” – Tajuddin

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, jika sebelum ini pembangkang menuduh kerajaan menjual negara kepada China kini apabila Arab Saudi melabur secara besar-besaran di Malaysia, adakah pembangkang akan menuduh kerajaan menjual negara kepada Arab Saudi pula.

Jelasnya, kedatangan Raja Arab Saudi Raja Salman Abdulaziz Al Saud telah membuktikan bahawa Malaysia bukan bergantung harap kepada sebuah negara sahaja untuk melabur seperti yang dituduh oleh pembangkang.

“Kedatangan Raja Salman membuktikan bahawa kedua-dua negara mempunyai hubungan yang baik dan kerana itulah Arab Saudi telah memberikan komitmen untuk melabur di negara ini.

“Pelaburan di Pengerang adalah bukti komitmen Arab Saudi dan ini bukan pelaburan yang main-main. Ini juga menepis fitnah dan tuduhan pembangkang terhadap Datuk Seri Najib. Jadi rakyat jangan mudah termakan dengan fitnah dan cerita yang direka oleh pembangkang,” ujarnya kepada UMNO-Online.

Tambah Tajuddin yang juga merupakan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, rakyat harus faham kemasukan pelabur luar negara ke negara ini adalah merupakan perkara biasa kerana kemasukan FDI ke dalam sesebuah negara akan membantu membangunkan ekonomi negara dan rakyat.

“…itu hakikatnya dan bukan bermakna bila kita terima pelabur asing kita menjual kedaulatan negara kita. Ini fikiran yang sempit bagi mereka yang tidak faham ekonomi ataupun faham tetapi tidak mahu menerima…

“Seperti Tun (Mahathir)… mustahil dia tidak faham dan tidak tahu. Masa dia jadi Perdana Menteri pun dia sangat memerlukan pelaburan asing dan ketika itu banyak syarikat Jepun dan Korea masuk ke Malaysia… Kenapa masa itu tidak ada tuduhan Tun jual negara kepada Jepun atau Korea.

“Ingat… Tun dulu pernah ketengahkan budaya pandang ke Timur yang merujuk kepada Jepun dan dia sangat bergantung kepada pelaburan Jepun tapi kita tidak anggap itu sebagai perbuatan yang salah yang boleh menjejaskan kedaulatan negara atau menjual negara kerana kita faham itu hakikat sebuah negara yang berada dalam globalisasi,” terangnya lagi.

Katanya lagi, rakyat juga tentunya masih ingat bagaimana pembangkang secara besar-besaran menabur fitnah berkaitan wang derma RM2.6 bilion kononnya Perdana Menteri menggunakan nama anak Raja Arab Saudi semata-mata untuk menutup apa yang diperkatakan.

“Jika tuduhan itu benar, mana mungkin Raja Arab Saudi mahu datang ke negara ini. Lawatan ini sepatutnya menjadikan satu jawapan kepada tuduhan dan sangka buruk yang harus rakyat terima. Ini bukan cerita tetapi realiti yang boleh dilihat sendiri.

“Seramai 600 deligasi Arab datang ke sini dan ini menunjukkan hubungan kedua-dua negara memang sangat baik.

“Sudahlah pembangkang ni.. carilah modal lain… janganlah tipu rakyat.. sempit-sempitkan fikiran rakyat… ini tidak membawa kebaikan kepada sesebuah negara dan rakyat itu sendiri,” bidas Tajuddin seterusnya. – MediaUMNO
 
Copyright © 2014 PenangKini.