BREAKING NEWS

Sunday, 5 March 2017

Kepala Batas DNA Umno, BN yakin kekal Menang

KEPALA BATAS: Umno akan memastikan kerusi Kepala Batas kekal menjadi ‘kerusi boleh menang’ untuk Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Anggota Majlis Tertinggi Umno yang juga Anggota Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata beliau yakin Umno mampu mempertahankan kerusi di Kepala Batas kerana ‘DNA Umno’ sangat ketara di kawasan itu.
“Di Kepala Batas ini ada satu benda yang boleh dianggap signifikan. Saya sebut ‘DNA Kepala Batas’ yang menjadi rangkuman semua aspek…dengan peranan-peranan yang dimainkan peranan yang begitu dominan.
“DNA Kepala Batas ini boleh saya sebut sebagai DNA Umno ‘dominated’. Sebab itulah kita nak kekalkan supaya dalam kalangan rakyat dapat melihat yang signifikan pada kehidupan mereka adalah Umno dan pemimpin-pemimpinnya,” katanya dipetik Bernama.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Jentera Jalinan Rakyat Wanita Kepala Batas, di sini hari ini. Turut hadir Ketua Wanita Umno Pulau Pinang, Datuk Norliza Abdul Rahim.
Reezal Merican yang juga Timbalan Menteri Luar berkata bagi memastikan kerusi Kepala Batas terus kekal milik BN, jentera parti perlu sentiasa menjalankan program melibatkan sasaran pengundi yang dilakukan secara mikro.
“Kita tak mahu buat program-program yang hanya dilihat ‘output’ tapi yang lebih penting hasilnya,” kata beliau.
Pada pilihan raya umum ke-13, BN memenangi kerusi Parlimen Kepala Batas dengan 25,128 undi dan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri iaitu Penaga (8,350 undi), Bertam (7,939 undi) dan Pinang Tunggal (9,155 undi).

 
Copyright © 2014 PenangKini.