BREAKING NEWS

Sunday, 5 March 2017

Keputusan Usir Duta Korea Utara Bukan Dibuat Terburu-Buru


KEPALA BATAS, 5 Mac – Keputusan kerajaan Malaysia mengusir Duta Besar Korea Utara Kang Chol dibuat secara profesional berlandaskan undang-undang dan tidak dilakukan secara terburu-buru, kata Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Keputusan itu, katanya dibuat berdasarkan profesionalisme mengikut Konvensyen Vienna mengenai soal hubungan diplomasi antara negara.
“Kita tidak mengambil tindakan berdasarkan ketergesaan. Kita tidak melakukan sesuatu tanpa alasan munasabah.
“Tetapi kita buat berdasarkan undang-undang antarabangsa dan kalau dari segi hubungan diplomasi, ia mematuhi undang-undang dalam negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pemimpin bersama jentera Jalinan Rakyat Wanita Kepala Batas, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman semalam yang mengisytiharkan Kang Chol sebagai ‘Persona Non Grata’ dan diberi tempoh 48 jam untuk meninggalkan Malaysia.
Ditanya sama ada terdapat tindakan susulan selepas pengusiran itu termasuk memutuskan hubungan dengan Korea Utara, Reezal Merican menegas apa juga keputusan yang diambil akan dibuat secara profesional.
Beliau berkata kerajaan Malaysia sentiasa bertindak terhadap sesuatu perkara itu dalam kesederhanaan dan tidak pernah membuat keputusan yang keterlaluan.
 
Copyright © 2014 PenangKini.