BREAKING NEWS

Monday, 13 March 2017

Kerajaan DAP di bidas isu balak di Kedah

ALOR SETAR 12 Mac - Kerajaan DAP Pulau Pi­nang dibidas kerana me­nuduh kerajaan negeri tidak memberi perhatian terhadap masalah pembalakan haram di Hutan Simpan Ulu Muda yang dikatakan telah menggugat pe­ranannya sebagai kawasan tadahan air.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bahshah Md. Hanipah menjelaskan, Kedah tidak memberi lesen pembalakan di kawasan tersebut sebaliknya aktiviti itu dilakukan secara haram.

Daripada hanya tahu mengkritik, katanya, kerajaan Pulau Pinang seharusnya tampil ke hadapan untuk berbincang dengan pihaknya dalam mencari jalan penyelesaian terbaik bagi mengatasi masalah itu.


“Jangan habaq (beritahu) nak air sahaja. Arah kita jaga kawasan tadahan tetapi dia satu sen pun tidak mahu bayar. Sepatutnya perlu ada rundingan antara kerajaan negeri dan Pulau Pinang. Apa yang patut mereka lakukan untuk membantu selesaikan masalah ini.

“Muafakat perlu, takkan nak air sahaja,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan BR1M bagi daerah Kota Setar di Pejabat Daerah Kota Setar, di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. (PBAPP) yang menggesa Kedah segera mela­rang pembalakan di Hutan Simpan Ulu Muda dan mewartakan hutan simpan ini sebagai hutan tadahan air.

Ahmad Bashah berkata, pihaknya tidak mempunyai masalah untuk duduk semeja dengan pentadbiran Pulau Pinang apatah lagi sehingga kini negeri berkenaan bergantung kepada sumber air mentah dari negeri ini.

“Kena duduk bincang, apa yang boleh Pulau Pinang bantu. Ini panggil bincang pun tak mahu. Ini bukan sikap kerajaan negeri yang baik. Patut ada pertemuan di peringkat tertinggi supaya ada persetujuan demi kepentingan rakyat,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa kerajaan negeri melalui agensi­nya memantau dan memperhebatkan penguatkuasaan di kawasan hutan simpan dalam mengatasi masalah pembalakan haram.

“Arahan sudah dikeluarkan, Jabatan Hutan Negeri Kedah perlu pantau dan mereka akan tangkap serta rampas balak jika aktiviti itu dilakukan secara haram,” katanya.

Utusan
 
Copyright © 2014 PenangKini.