BREAKING NEWS

Friday, 17 March 2017

Kerajaan DAP Pulau Pinang hanya bantu orang kaya - Datuk Seri Hilmi




Ahli Parlimen Balik Pulau mendakwa kerajaan negeri pimpinan DAP hanya membantu mereka yang kaya sehingga menyebabkan kemiskinan dalam bandar di Pulau Pinang semakin bertambah.
Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata kerajaan negeri tidak membantu golongan miskin dalam bandar menyebabkan jumlah mereka semakin bertambah.

“Kita lihat keadaan di Pulau Pinang berbeza dari dulu, masyarakat Cina dah menolak DAP kerana mereka menganggap DAP langsung tidak membantu mereka.

“Mereka hanya membantu orang kaya, pembangunan yang besar dibantu tetapi rakyat biasa mereka tidak bantu,” katanya kepada wartawan selepas melancarkan Program Kolaborasi Kesihatan Pergigian dan Badan-badan Agama di Masjid Negara hari ini.

Beliau yang juga timbalan menteri kesihatan berkata demikian ketika mengulas cara Umno mengendalikan isu perkauman yang ditimbulkan DAP di Pulau Pinang.
Hilmi berkata banyak kilang besar di Pulau Pinang ditutup dan mereka memindahkan operasi ke negara lain.
“Di Pulau Pinang setakat ini saya difahamkan ada 6,000 orang hilang pekerjaan akibat penutupan kilang yang keluar membawa operasi ke negara lain.

“Dan inilah yang sedang berlaku di Pulau Pinang dan masyarakat Cina sendiri tidak puas hati dengan prestasi kerajaan Pulau Pinang sekarang.

“Memang ada perubahan banyak daripada masyarakat Cina dan mereka tidak yakin dengan kerajaan DAP di Pulau Pinang,” katanya.

Mengulas mengenai isu Influenza A (H5N1), Hilmi berkata sehingga kini tidak ada laporan jangkitan penyakit itu kepada manusia.
Beliau berkata kementerian juga akan sentiasa memantau perkembangan H5N1 kerana bimbang akan berlakunya jangkitan kepada manusia.

“Pejabat kesihatan daerah semua turun buat pemeriksaan, kalau ada kes, kita akan buat rawatan yang secukupnya,” katanya yang mengesahkan sehingga kini virus berkenaan hanya berlaku di Kelantan.
Hilmi berkata virus H5N1 juga akan mati jika suhu ayam yang dimasak itu mencecah 70 darjah celsius.

“Dan kita di Malaysia tak makan ayam mentah, cara memasaknya biasa sampai mendidih, jadi ia selamat dimakan,” katanya.
 
Copyright © 2014 PenangKini.