BREAKING NEWS

Sunday, 26 March 2017

Kerajaan DAP Pulau Pinang perlu hentikan Politik Putar Belit Isu Projek Terowong Dasar Laut



Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Betong, Datuk Muhammad Farid Saad membidas alasan demi alasan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang berhubung kelewatan pelaksanaan Projek Terowong Bawah Dasar Laut dan tiga Jalan raya utama.

Jelas beliau alasan yang diberikan adalah sangat tidak munasabah.

“Perjanjian Projek Terowong Bawah Dasar Laut dan tiga jalan raya utama telah ditandatangani pada 2013. Projek ini dijangka akan membelanjakan wang rakyat Pulau Pinang berjumlah RM6.3 billion.

“Pada masa perjanjian itu ditandatangani, kita dimaklumkan oleh pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang bahawa Kajian Kebolehlaksanaan dijangka siap pada April 2014 dan hasil kajian akan diumumkan kepada orang ramai.

“Pembinaan pakej Jalan Teluk Bahang- Tanjung Bungah sepanjang 12 km dijangka bermula pada suku pertama tahun 2015 dan dijangka siap pada penhujung tahun 2017; manakala pembinaan pakej Air Itam ke Lebuhraya Lim Chong Eu sepanjang 4.2 km pula akan bermula pada suku pertama 2016 dan dijangka siap menjelang akhir tahun 2018 namun begitu, tarikh permulaan pembinaan tersebut telah ditangguhkan dan diberitahu projek akan hanya bermula pada awal tahun 2016,” terangnya melalui satu kenyataan media kepada UMNO-Online di sini.

Jelas beliau lagi, kerajaan negeri kemudiannya memaklumkan bahawa Kajian Kebolehlaksanaan dan Rekabentuk Terperinci untuk tiga jalan utama telah siap tetapi pembinaannya akan hanya bermula pada pertengahan 2016 dan bukannya pada awal 2016 sebagaimana diumumkan sebelum ini.

“Walau bagaimana pun, pada Julai 2016 kita diberitahu pula bahawa perlaksanan projek akan ditangguhkan hingga awal tahun 2017 kerana kontraktor projek tidak pasti jika rekabentuk jalan raya mereka boleh menampung penyuraian air ribut atau ‘storm water dispersal’ dengan sempurna dan kajian seterusnya perlu dilakukan terhadap rekabentuk tersebut.

“Projek ini sekali lagi ditangguh apabila pada Disember 2016, kita diberitahu bahawa konsortium yang dilantik untuk melaksanakan projek telah mendapati sebahagian tanah dalam cadangan jajaran tiga jalan raya utama tersebut dimiliki oleh Kerajaan Persekutuan dan bukannya Kerajaan Negeri.

“Pandai sungguh mereka mencari alasan… Rekabentuk telah dimulakan beberapa tahun yang lalu dan yang pastinya bermula dengan membuat kerja ukur. Jadi bagaimana baru sekarang mereka tersedar tentang pemilikan tanah tersebut,” ujarnya lagi.

Justeru tegasnya timbul satu lagi persoalan iaitu pengambilan balik tanah (pengambilan balik tanah-tanah yang terlibat hanya boleh dilakukan oleh Kerajaan Negeri) tidak pernah dimaklumkan kepada umum.

“Apakah kos ini sudah termasuk dalam jumlah RM6.3 billion tersebut atau ia adalah kos tambahan yang perlu ditanggung oleh rakyat Pulau Pinang? Berapa luas lagi tanah milikan kerajaan negeri akan diberikan kepada konsortium ini… Lot tanah yang digunakan sebagai sebahagian daripada pembayaran kepada konsortium itu telah pun ditukar nama dan telahpun diberikan kelulusan pembangunan.

“Kenapa perlu ambil masa lebih enpat tahun dan membayar beratus-ratus juta ringgit untuk kos kajian dan hasilnya hanyalah dapat mengetahui bahawa tanah dalam jajaran jalan raya yang dicadangkan itu bukan milik Kerajaan Negeri.

“Apakah Exco Tanah yang juga Ketua Menteri tidak tahu mengenai perkara ini sebelum menandatangani perjanjian dengan Konsortium?,” bidas Farid.

Terkini Kerajaan Negeri Pulau Pinang memaklumkan bahawa Fasa Pertama Projek tiga jalan raya utama akan hanya bermula pada pertengahan tahun 2018 atau dalam kata lain selepas Pilihanraya Umum ke-14.

Kegagalan Konsortium yang dilantik Kerajaan Negeri melaksanakan projek terowong dasar laut dan tiga jalan raya utama ini menunjukkan dengan jelas “incompetency” Kerajaan Negeri sendiri dalam melaksanakan projek mega, manakala kegagalan Kerajaan Negeri menjelaskan dan memaklumkan dengan terperinci butiran perjanjian kontrak kepada umum jelas membuktikan Kerajaan Negeri tidak transparens atau telus.

“Rakyat suda penat menunggu dan letih mendengar janji kosong kerajaan negeri…. oleh itu, Lim Guan Eng, sila jawab semua persoalan ini,” katanya lagi. – MediaUMNO
 
Copyright © 2014 PenangKini.