BREAKING NEWS

Monday, 20 March 2017

Lim Guan Eng Tangguh Perbicaraan Kes Rasuah


GEORGE TOWN: Perbicaraan kes rasuah ketua menteri Pulau Pinang dan ahli perniagaan, Phang Li Koon yang sepatutnya bermula minggu depan ditangguhkan sementara menunggu rayuan mereka mencabar Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 selesai.
Perbicaraan kes itu sepatutnya bermula 27 Mac ini, tetapi Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Datuk Hadhariah Syed Ismail menetapkan 25 April untuk pengurusan kes itu.
Beliau membatalkan perintah awalnya untuk pihak pembelaan mengemukakan pernyataan mereka sehingga 21 Mac ini.
Januari lalu, Lim Guan Eng dan Phang memfailkan permohonan untuk mengisytiharkan Seksyen 62 Akta SPRM 2009 tidak berperlembagaan, tetapi ditolak Mahkamah Tinggi pada 7 Mac lalu.
Seksyen 62 menetapkan selepas pihak pendakwaan menyerahkan dokumen, tertuduh hendaklah menyerahkan antaranya pernyataan pembelaan kepada pihak pendakwaan sebelum perbicaraan.
Lim didakwa menyalahgunakan kuasanya untuk menukar status sebuah tanah milik syarikat Phang bagi manfaat mereka. Mereka berdua mengaku tidak bersalah.

Pada 30 Jun 2016, Lim mengaku tidak bersalah atas dakwaan menyalahgunakan kedudukan dan jawatannya sebagai ketua menteri untuk mendapatkan suapan bagi dirinya dan isteri, Betty Chew dengan meluluskan permohonan Magnificient Emblem Sdn Bhd menukar tanah pertanian kepada perumahan awam di daerah barat daya Pulau Pinang, menerusi mesyuarat exco yang dipengerusikannya pada 18 Julai 2014.
Bagi pertuduhan ke-2, Lim didakwa sebagai penjawat awam mendapatkan untuk dirinya sebuah lot tanah dan banglo daripada Phang pada harga RM2.8 juta, lebih rendah daripada nilai pasaran RM4.27 juta pada 28 Julai 2015.
Selaku bekas pemilik banglo itu, Phang mengaku tidak bersalah atas dakwaan bersubahat dengan Lim untuk mendapatkan banglo berkenaan di bawah harga pasaran di tempat dan tarikh sama.
Ketika ditemui di luar mahkamah, peguam Guan Eng, Gobind Singh Deo memberitahu wartawan, notis rayuan sudah difailkan di Mahkamah Rayuan Putrajaya.
“Jika Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan kami, ia akan memberi kesan kepada pengurusan kes seperti itu. Dalam keadaan itu, lebih baik Mahkamah Rayuan memutuskan kes itu sebelum perbicaraan Lim bermula,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd Daud berkata, pihaknya akan mengemukakan permohonan di Mahkamah Rayuan supaya rayuan itu didengar secepat mungkin.

 
Copyright © 2014 PenangKini.