BREAKING NEWS

Wednesday, 29 March 2017

Line Clear mohon maaf kepada pelanggan, akui kesilapan


GEORGETOWN - Restoran Nasi Kandar Line Clear memohon maaf kepada semua pelanggannya selepas diarahkan tutup bagi memastikan tahap kebersihan menepati piawaian yang ditetapkan.

Pengendalinya, Sahubali China Mohd Hanibah, 58 berkata, pihaknya mengakui kesalahan itu dengan mengakui pihaknya terlepas pandang berhubung perkara itu.

"Sebagai pengendali sah untuk tahun ini, ingin memohon maaf dan  akan mengatasinya secara berperingkat. Tahap kebersihan Line Clear kini saya jamin 100 peratus memuaskan. Malah bagi mengekalkan kebersihan premis ini, kami telah melantik sebuah syarikat swasta bagi memantau masalah ini.



"Syarikat ini berperanan dalam kerja pembersihan di premis dan sekitar kawasan ini. Kami juga akan menulis surat permohonan kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) untuk pemeriksaan berkala agar premis ini bebas dari kotor," katanya kepada media, hari ini.

Isnin lalu, Restoran Line Clear diarahkan tutup selama dua minggu selepas pemeriksaan pihak berkuasa mendapati terdapat tikus, bangkai tikus dan lipas di premis berkenaan.

Tujuan arahan penutupan premis dikeluarkan adalah untuk membolehkan kerja pembersihan premis dijalankan.

Sementara itu, waris Line Clear, Jumah Bee Kalanda Mastan, 42 berkata, bagi meyakinkan pelanggan setia Line Clear, pihaknya telah membersihkan kawasan premis.

"Banyak perkara yang kami lakukan sepanjang tiga hari Line Clear ditutup antaranya membaik pulih parit dan longkang, dinding di cat semula, penukaran meja serta peralatan masakan. Kami juga telah membersihkan kawasan premis dengan menggunakan bahan kimia bagi memastikan tiada kehadiran tikus dan lipas.

"Sepanjang penutupan Line Clear, kami terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM10,000. Namun, kami terima dan menganggap ini salah satu ujian dalam perniagaan. Saya harap selepas ini tiada lagi maklumat tidak betul berkenaan Line Clear disebarkan terutamanya dalam media sosial," katanya.

Jumah berkata, perniagaan Line Clear yang mempunyai 20 pekerja itu agak terjejas selepas arahan penutupan itu dikeluarkan.

"Kami baru beroperasi pagi tadi (semalam) dan diakui, perniagaan ini terjejas sekitar 40 peratus. Namun, saya berharap situasi ini tidak akan berterusan.

"Kami berbesar hati menjemput peminat nasi kandar seluruh negara agar datang ke Line Clear dan lihat sendiri keadaan premis yang baharu dibersihkan," katanya.

Sementara itu, salah seorang pelanggan yang ditemui, Mahani Othman, 57 berkata, dia tidak mempunyai masalah dengan isu yang hangat diperkatakan berhubung Line Clear.

Pesara dari Taiping, Perak itu berkata, dia akan memilih waktu yang sesuai untuk datang menjamu selera di restoran yang terletak di Jalan Penang itu.

"Saya merupakan pelanggan setia Line Clear dari 1981 dan saya akan memilih masa yang tidak sibuk. Seperti sekarang ini, saya tidak nampak premis ini kotor. Ketika waktu sibuk, mungkin akan ada pinggan mangkuk yang tidak diangkat dan disebabkan itu akan nampak tidak bersih.

"Setiap kali datang ke Pulau Pinang, saya akan singgah ke sini. Saya akan terus menjadi peminat nombor satu Line Clear walaupun bermacam-macam dakwaan dilemparkan," katanya. SH


 
Copyright © 2014 PenangKini.