BREAKING NEWS

Wednesday, 8 March 2017

Malaysia dijangka hasilkan 900,00 tan biodiesel

U-R-Unnithan
KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka menghasilkan antara 800,000 dan 900,000 tan biodiesel pada 2017 berbanding 500,000 tan pada tahun lepas apabila kerajaan melaksanakan mandat biodiesel, menurut Persatuan Biodiesel Malaysia.
Presidennya, U R Unnithan berkata pelaksanaan mandat B10 dijangka bermula pada bila-bila masa pada tahun ini.
Biodiesel B10 merupakan campuran 10% metil ester sawit (PME) dan 90% diesel petroleum, manakala B7 terdiri daripada 7% PME.
Unnithan berkata pengeluaran Indonesia juga akan meningkat kepada 3.5 juta tan pada 2017 berbanding 3 juta tan pada 2016.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di luar Persidangan Minyak Sawit dan Laurik Global selepas membentangkan kertas kerja beliau bertajuk, ‘Prospek biodiesel dalam landskap global yang berubah’ di sini hari ini.
Dianjurkan oleh Bursa Malaysia, acara selama 2 hari itu menarik kira-kira 2,000 peserta dari lebih 59 buah negara.
Unnithan berkata Malaysia mengeluarkan 500,000 tan biodiesel pada tahun lepas, iaitu 173,000 tan lebih rendah berbanding pada 2015.
Beliau percaya kerajaan akan melaksanakan biodiesel B10 susulan pasaran minyak sawit yang lemah.
“Tetapi jika B10 (mandat) tidak dilaksanakan, pengeluaran biodiesel akan berlegar sekitar 500,000 tan atau 600,000 tan,” katanya.
Beliau berkata apabila persatuan memulakan industri itu, 52 lesen untuk mengendalikan loji biodiesel dikeluarkan oleh kerajaan, tetapi hanya kira-kira 20 syarikat menerima cabaran tersebut.
Bagaimanapun, jumlah pemegang lesen yang aktif kini berkurangan kepada 17 buah syarikat, katanya.
Dalam pasaran eksport yang lemah, banyak kapasiti tidak digunakan, katanya sambil menambah penggunaan kapasiti pada paras semasa adalah di bawah 25% atau hampir kepada 20%.
“Jika kapasiti dapat ditingkatkan kepada hampir 100%, ya, ia dapat (membantu) menampung (kos) dan mencatat keuntungan,” katanya.

FMT
 
Copyright © 2014 PenangKini.