BREAKING NEWS

Tuesday, 7 March 2017

Malaysia tak takut kuasa besar - Reezal Merican




Timbalan Menteri Luar Negeri Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican nafi kerajaan Malaysia takut negara besar seperti Amerika Syarikat.
“Tak benar dakwaan kita takut negara besar. Contohnya resolusi 2334 yang dicapai di Majlis Keselamatan PBB,” katanya.

Sebelum Presiden AS Donald Trump mengangkat sumpah jawatan, Reezal berkata pasukan peralihan mereka cuba memujuk Malaysia menggugurkan draf resolusi mengecam penempatan haram Israel di Tebing Barat dan Baitulmaqdis timur.

“Pertama kali dalam sejarah AS mengambil keputusan untuk berkecuali dalam pengundian. Ada usaha daripada AS untuk menghubungi kita dan memujuk kita untuk tidak meneruskan resolusi itu.
“Tetapi kita tidak mengalah kerana kita percaya resolusi itu langkah yang betul. Ini menunjukkan kita tidak tunduk, atau membiarkan kuasa besar menentukan siapa kawan kita,” katanya.
Reezal, yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas, menjawab soalan Kamaruddin Jaafar (PKR-Tumpat) di Dewan Rakyat Rakyat hari ini.

Kamaruddin ditanya adakah kerajaan akan mengkaji semula dasar luar negara supaya Malaysia tidak dipengaruhi oleh kuasa besar Barat dan Timur.

Menjawab soalan itu, Reezal berkata walaupun Malaysia tidak bersetuju dengan beberapa dasar AS, ia tidak mahu terburu-buru membuat keputusan mengenai dasar luar negara.
Ini kereana kerajaan menghormati hak setiap negara untuk membuat dasar yang dirasakan sesuai untuk warganegara mereka, tambah beliau.

Beliau juga merujuk kepada larangan perjalanan ke atas 7 negara Islam, yang digantung mahkamah persekutuan AS.

Semalam, Trump menyemak semula arahan imigresen untuk mengecualikan Iraq, termasuk penduduk tetap AS dan pemegang visa, dari 6 negara lain, iaitu Yemen, Iran, Libya, Somalia, Sudan dan Syria.
“Semua negara boleh menentukan hala tuju sendiri, yang dirasakan terbaik untuk rakyat mereka,” kata Reezal.

“Malaysia akan terus bekerja dengan AS, memastikan hubungan 2 hala kita berterusan. Kita juga mahu menjaga kebajikan rakyat kita, dan 7,500 pelajar Malaysia di AS.
“Trump kata ‘America first’, tapi dasar kita ialah ‘Malaysia dan rakyat Malaysia first’.”

FMT
 
Copyright © 2014 PenangKini.