BREAKING NEWS

Monday, 27 March 2017

MCA selar cadangan cat logo




Parti MCA negeri menyelar Kerajaan DAP Pulau Pinang yang bercadang mengecat logo ‘Saya Sa­yang Pulau Pinang’ pada 45 blok pangsapuri perumahan awam di bawah kerajaan negeri.

Sambil menilai tindakan itu sebagai tidak masuk akal, Timbalan Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Pengaduan MCA negeri, Tan Eng Hin berkata, cadangan tersebut yang membabitkan kos lebih RM222,000 juga disifatkan pembaziran wang rakyat.
Menurutnya, wang tersebut sepatutnya digunakan untuk perkara lebih bermanfaat antaranya membela nasib golongan miskin dan gelandangan yang masih wujud di negeri ini.

“Kos untuk mengecat bangunan itu bukan satu jumlah yang kecil. Mengapa kerajaan negeri tidak menggunakan wang ini untuk membantu golongan miskin selaras dengan usaha miskin tegar sifar mereka?” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sebelum ini, kerajaan negeri mengumumkan akan mengecat logo ‘Saya Sayang Pulau Pinang’ pada 45 bangunan perumahan awam negeri bermula hujung bulan ini.
Tindakan itu merupakan salah satu tindak balas kerajaan negeri berhubung cadangan menjadikan sebahagian negeri ini sebagai Wilayah Persekutuan, namun cadangan tersebut sudah diperjelas tidak akan dilaksanakan.
Dalam pada itu, Eng Hin turut membidas tindakan pemimpin pembangkang khususnya DAP yang membisu berhubung cadangan mengecat blok bangunan tersebut.
Sedangkan, kata beliau, pe­mimpin pembangkang di Selangor sebelum ini mengambil tindakan tegas melarang pemasangan papan iklan, Satu Malaysia ko­nonnya bermotifkan politik.
“Tetapi apa yang dilakukan kerajaan negeri hari ini yang mahu mengecat pangsapuri dengan logo ‘Saya Sayang Pulau Pinang’ jauh lebih bermotifkan politik berbanding papan tanda Satu Malaysia.
“Jadi mengapa mereka membisu dan seolah-olah membenarkan perkara ini?,” soalnya.

UTUSAN ONLINE


 
Copyright © 2014 PenangKini.