BREAKING NEWS

Sunday, 19 March 2017

Pembangkang dicabar daftar sebagai Pertubuhan rasmi




Pakatan Harapan (HARAPAN) dicabar agar mendaftar secara sah sebagai sebuah pertubuhan dan melantik pengerusi supaya rakyat dapat melihat dengan jelas hala tuju mereka.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata rakyat mahu melihat sebuah pertubuhan yang mampu menawarkan sesuatu yang terbaik untuk mereka dan bukan sekadar menabur janji palsu.

"Kalau Barisan Nasional (BN), kita ada perdana menteri (sebagai pengerusi), BN adalah sebuah pertubuhan yang tulen dan tidak hipokrit," katanya selepas menyampaikan Sijil Kelayakan Subsidi dan Inden Kerja Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M) kepada 28 penerima bagi Parlimen Kepala Batas di Kepala Batas, hari ini.

Beliau yang juga timbalan menteri luar dan anggota Parlimen Kepala Batas berkata kerajaan BN juga tidak berpecah belah seperti HARAPAN dan sentiasa mempunyai kerjasama yang erat di antara parti-parti komponennya sejak sekian lama.

Sementara itu, mengenai RMR1M, beliau berkata bagi Pulau Pinang sebanyak 908 permohonan diterima sejak program itu diperkenalkan pada 2002 dan daripada jumlah itu 426 permohonan diluluskan dengan 293 unit rumah siap dibina.

-Bernama
 
Copyright © 2014 PenangKini.