BREAKING NEWS

Sunday, 19 March 2017

PAS Permatang Pauh mahu putus hubungan dengan PKR

SEBERANG PERAI: Kubu kuat Datuk Seri Anwar Ibrahim nampaknya tersedia untuk pertembungan antara PAS dan PKR selepas parti Islam memutuskan semua kerjasama dengan parti reformasi di kawasan Parlimen Permatang Pauh.
Yang dipertua PAS kawasan Omar Hassan hari ini mendakwa PKR cuba menjejaskan kedudukan PAS dalam kalangan pengundi Melayu-Islam di sana menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Beliau juga mendakwa PKR tidak menghormati PAS sebagai rakan kerjasama kerana mereka mengekalkan kerjasama dengan DAP dan Parti Amanah Negara untuk menyerang mereka.
“PKR didapati sewenang-wenangnya menggunakan sebilangan ahli PAS untuk kepentingan politik PKR tanpa perbincangan terlebih dahulu dengan PAS,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lebih memudaratkan apabila ahli PAS mengadu PKR meminta mereka keluar parti bagi tujuan memegang jawatan tertentu dalam kerajaan negeri Pakatan Harapan, tambahnya.
“Sifat tidak bertanggungjawab oleh PKR ini menunjukkan PKR sangat tidak menghormati prinsip setiakawan dan boleh menjejaskan PAS,” katanya.
Langkah memutuskan kerjasama dengan PKR diputuskan pada mesyuarat agung tahunan kawasan di Dewan Haji Yusof Rawa hari ini.
Parlimen Permatang Pauh dimenangi Anwar dan isterinya yang juga presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sejak 1982. Wan Azizah menduduki kerusi itu ketika Anwar dipenjarakan selepas disabitkan kesalahan liwat dan tidak boleh memegang jawatan ahli Parlimen.
Wan Azizah kembali ke kerusi itu pada Mei 2015, selepas Anwar mengosongkan ia susulan hukuman penjara terbaharu.
Pada 10 Disember tahun lepas, anak mereka Nurul Izzah Anwar, yang juga naib presiden parti, menyeru pimpinan PAS tempatan untuk menimbang semula hasrat bertanding kerusi itu pada PRU-14.
Beliau berkata mereka sepatutnya tumpu melawan BN dan bukannya mempertikaikan pengagihan kerusi dalam kalangan pembangkang serta menyebabkan kekeliruan dalam kalangan orang ramai.
Langkah terbaharu oleh PAS ini mungkin menyaksikan sama ada parti Islam itu beralih menyokong Umno atau mencabar PKR pada PRU-14 yang paling lewat perlu diadakan tahun depan.
Omar menuduh PKR gagal mempertahankan Islam di Pulau Pinang, mendakwa parti Anwar itu menurut kehendak DAP mencampuri urusan penfatwaan.
“Terdapat beberapa fatwa yang dilengahkan/ditangguhkan oleh PKR dan DAP melalui exco agama,” katanya.
Pada 31 Januari, Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Muhammad Fauzi Yusof mendakwa kerajaan negeri mengarahkan semua fatwa melalui majlis mesyuarat kerajaan negeri terlebih dahulu sebelum ia diluluskan sebagai undang-undang.
Di bawah undang-undang negeri, Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang boleh mengeluarkan fatwa untuk diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk dipersetujui, untuk kemudiannya diwartakan di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2004.
Mufti Datuk Wan Salim Wan Mohd Noor menafikan dakwaan itu, dan berkata keputusan jawatankuasa adalah muktamad dan tidak boleh dicampuri ahli politik.
 
Copyright © 2014 PenangKini.