BREAKING NEWS

Wednesday, 22 March 2017

Pencemaran Sisa Buangan Di Kuala Sungai Pinang Kian Merebak


GEORGE TOWN -- Pencemaran sisa kumbahan domestik dan sisa buangan dari kolam ternakan udang di Kuala Sungai Pinang, Balik Pulau kian merebak hingga menjejas kehidupan 5,000 penduduk dan nelayan di kawasan itu.
Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM) S.M Mohamed Idris berkata masalah yang berlarutan sejak lebih 10 tahun itu melibatkan sistem perparitan, pantai dan laut di kawasan itu yang menyebabkan bau busuk dan hasil tangkapan nelayan berkurangan.

"Dalam tinjauan kami dapati keadaan parit di sini yang hampir tertimbus akibat mendapan bahan buangan seperti lumpur dan sampah sarap dari kawasan perumahan dan kolam ternakan udang.

"Air di dalam parit juga didapati berwarna hitam serta berbuih," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata beberapa longkang dan berpuluh saluran di kawasan itu turut menjadi tempat sisa buangan dialir ke parit dan terus ke laut menyebabkan perairan Balik Pulau tercemar.

Ini mengancam hidupan laut sekaligus menjejas pendapatan 2,000 nelayan pantai di Kuala Sungai Pinang, Pantai Acheh, Kuala Sungai Burung dan Pulau Betong.

Mohamed Idris berkata banyak aduan telah dibuat oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang dan para nelayan kepada kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang, namun sehingga kini tiada tindakan berkesan yang diambil.

Beliau berkata pihaknya berasa kesal dan bimbang kerana hutan paya bakau terus dimusnahkan untuk menambah kolam ternakan udang yang dibina sewenang-wenangnya di kawasan itu tanpa kajian yang menyeluruh.

Mohamed Idris menggesa kerajaan Pulau Pinang dan pihak berkuasa tempatan supaya memberi perhatian dan mengambil tindakan berkesan bagi mengatasi masalah itu.

Beliau turut meminta Jabatan Perikanan membuat kajian khusus mengenai kesan pencemaran sisa buangan kolam ternakan ke atas sumber perikanan di perairan Balik Pulau.

-- BERNAMA
 
Copyright © 2014 PenangKini.