BREAKING NEWS

Monday, 27 March 2017

Pengamal Media P. Pinang digesa tidak tunduk


Parti Gerakan negeri berharap pengamal media di negeri ini tidak tunduk atau takut untuk me­laporkan sebarang isu serta kontroversi dalam Ke­rajaan DAP Pulau Pinang meskipun ber­depan de­ngan ugutan saman.

Sambil mengecam pendekatan kerajaan negeri itu yang dilihat cubaan menutup mulut media, Naib Presidennya, Oh Tong Keong berkata, pengamal media mempunyai tanggungjawab lebih besar iaitu mendedahkan kebenaran kepada rakyat.

Dalam masa sama, beliau menggesa orang ramai menilai sikap sebenar Kerajaan DAP Pulau Pinang yang melayan media hanya untuk kepentingan mereka khususnya bagi memenangi pilihan raya umum.

“Pendekatan ini sangat berbeza dengan apa yang diamalkan Gerakan negeri yang memberi kebebasan sepenuhnya untuk media melaporkan apa-apa isu mengikut bidang tugas mereka.

“Malah, kita juga sudah tegaskan sebelum ini mana-mana ahli Gerakan yang cuba mengganggu tugas media bukanlah calon yang layak bertanding dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan kerajaan negeri khususnya Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang dilihat cuba memberi tekanan kepada pengamal media menerusi tindakan undang-undang.

Malah, beberapa akhbar Cina yang sebelum ini menjadi tulang belakang kepada kemenangan DAP dalam pilihan raya umum lalu turut menjadi sasaran hanya kerana melaporkan perkara bertentangan dengan dasar kerajaan negeri.
Menurutnya, antara media yang pernah terlibat dengan tindakan sekatan melaporkan berita oleh Guan Eng ialah Kwong Wah Yit Poh pada Mei 2013 dan Disember 2016, China Press (Julai 2014, Mac 2015 dan November 2016) dan Sin Chew Daily (Februari 2014).

Terbaharu, kata beliau, pada Februari lalu, China Press dan Sin Chew Daily sekali lagi me­nerima kecaman daripada Guan Eng kerana kononnya melanggar etika liputan berita berkaitan pengharaman mesin simulator di negeri ini.

“Banyak lagi laporan berita berkaitan masalah dihadapi rak­yat yang berpunca daripada kerajaan negeri dilihat sebagai tidak tepat dan wartawan berkenaan menerima pelbagai bentuk amaran dan teguran sekali gus dilihat cubaan menakut-nakutkan media,” katanya.


 
Copyright © 2014 PenangKini.