BREAKING NEWS

Thursday, 30 March 2017

Pindaan Akta 355 Sekadar Kembali Kepada Asal

PAS mengalu-alukannya sekiranya kerajaan bersedia membentangkan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) di Parlimen kerana ia akan lebih memudahkan usaha tersebut.

Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, PAS bagaimanapun tidak terkesan sekiranya parti itu yang diperlukan berbuat demikian kerana ia sememangnya rancangan PAS sejak awal cadangan pindaan itu dikemukakan.

“Ia sekadar balik asal dan kembali kepada persediaan asal PAS. PAS takkan sesekali berhenti. Hanya yang mampu dan diharapkan daripada UMNO adalah sokongan demi memartabatkan Islam dan syariatnya. Ia kewajiban bersama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan hari ini turut menjelaskan PAS tidak ditipu oleh UMNO apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kerajaan Barisan Nasional tidak akan membentangkan pindaan Akta 355 di Parlimen selaras dengan dasar dan amalan BN yang menetapkan semua keputusan secara konsensus.

Nasrudin sebaliknya menjelaskan, kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi iaitu kerajaan bersedia membentangkan pindaan akta tersebut di Dewan Rakyat baru-baru ini cuma satu “option” bagaimana ia akan dibentangkan di Parlimen.

“Bezanya cuma jika kerajaan yang bentang maka ia jadi Bill Kerajaan yang diutamakan angka gilirannya. Jika PAS yang membentangnya maka ia kekal seperti asal iaitu RUU, maka gilirannya ditentukan oleh Yang di Pertua Dewan Rakyat melalui peruntukan peraturan dewan.

“Kedua-dua menjadi “option” yang boleh dipertimbangkan. PAS tidak masalah siapa yang mahu membentangkannya. Apa yang penting Akta 355 mesti berjaya dipinda. Kerajaan tidak jadi mengambil alih pembentangan itu mengembalikan format asal tanpa merosakkan sesuatu,” jelas Nasrudin.

Nik Mohamad Abduh dalam pada itu menyeru seluruh umat Islam supaya Allah S.W.T menyatukan hati Ahli Parlimen beragama Islam untuk menyokong pindaan akta tersebut.

Pemimpin dan penyokong Pakatan Harapan sejak semalam menyebarkan propaganda di media sosial kononnya PAS ditipu oleh UMNO serta mengejek PAS sebagai Tok Lebai kerana mudah ditipu. – MYNEWSHUB.CC

 
Copyright © 2014 PenangKini.