BREAKING NEWS

Wednesday, 8 March 2017

Polis bersedia halang warga Korea Utara tinggalkan Malaysia


Polis kini bersedia dengan pihak berkuasa lain untuk melaksanakan arahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya menghalang semua warga Korea Utara daripada meninggalkan negara ini.
“Ya, kita akan melaksakan arahan PM itu”, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar ketika dihubungi Bernama melalui WhatsApp di sini.
Menurutnya selain di Semenanjung Malaysia terdapat rakyat Korea Utara juga dilaporkan bekerja di Sarawak.

Perdana Menteri mengeluarkan arahan itu dari Jakarta sebagai tindak balas terhadap arahan Kementerian Luar Korea Utara yang menyekat rakyat Malaysia di negara itu daripada meninggalkan Korea Utara.
Semalam Duta Besar Korea Utara Kang Chol, yang diisytiharkan sebagai “persona non grata” oleh kerajaan Malaysia, meninggalkan Malaysia apabila diarahkan berbuat demikian oleh Kementerian Luar dalam tempoh 48 jam berkuat kuasa Sabtu lepas.
Kang Chol dilaporkan membuat tuduhan melulu dan tidak berasas terhadap Kuala Lumpur berhubung siasatan kes pembunuhan warga Korea Utara Kim Chol, yang dilaporkan secara meluas sebagai Kim Jong-nam, pada 13 Februari.
Sebelum ini, kerajaan Malaysia mengumumkan warga Korea Utara dikehendaki memohon visa untuk memasuki negara ini berkuat kuasa 6 Mac.
Jong-nam dilaporkan dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) sebelum sempat berlepas ke Macau.


 
Copyright © 2014 PenangKini.