BREAKING NEWS

Wednesday, 29 March 2017

Projek Lembah Chuping Bakal Ubah Landskap Ekonomi Perlis, Kata Menteri Besar


PADANG BESAR - Projek pembangunan Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (KPLC) yang dijadual siap sepenuhnya pada 2025 dijangka menyumbang RMM2.58 bilion kepada keluaran dalam negara kasar, selain mengubah landskap ekonomi Perlis.

Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man berkata, KPLC sebagai kunci dan pemangkin sosio ekonomi rakyat akan melonjak ekonomi negeri itu daripada ekonomi tradisi yang menumpu kepada bidang pertanian kepada ekonomi moden.

Katanya, KPLC seluas 3,300 ekar itu mengandungi Pelabuhan Darat Perlis (PDP) seluas 500 ekar sebagai hab logistik serta kawasan industri yang tertumpu kepada tiga kluster, iaitu penjanaan tenaga boleh diperbaharui, pengeluran hijau dan industri halal.

Menurut beliau, pada peringkat awal, lebih 12,500 peluang pekerjaan akan dapat diwujudkan dan ia dijangka meningkat sekali ganda kepada 25,000 dalam jangka panjang.

"Saya optimis KPLC yang dirancang dengan teliti sejak 2014 akan mencapai objektifnya kerana menerima banyak maklum balas positif daripada bakal pelabur asing dan swasta," katanya.

Azlan berucap pada majlis pelancaran KPLC oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di tapak projek tersebut di sini, Isnin. Berangkat sama Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Turut hadir anggota Exco kerajaan negeri, Penasihat Pihak Berkuasa Pelaksana Koridor Utara (NCIA), Datuk Seri Zainal Abidin Osman dan Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Redza Rafiq.

Beliau berterima kasih kepada kerajaan persekutuan kerana meluluskan projek tersebut dengan memberi peruntukan awal RM873.5 juta bagi membangunkan infrastruktur asasnya. 

Bercakap kepada pemberita kemudian, Azlan berkata, banyak pihak berminat melabur dalam KPLC, antaranya projek tenaga solar 50 Megawatt bernilai RM300 juta dan pelaburan oleh syarikat dari China.

Ketika ditanya mengenai keupayaan KPLC berikutan kekangan ekonomi dunia beliau berkata: "Tak usah bimbang, pelaburan akan masuk apabila infrastruktur asas siap satu hingga dua tahun lagi. Sudah ada tanda-tanda ekonomi dunia lebih positif dalam dua tiga tahun ini. Apa yang kita buat ini tepat pada masanya.

"Projek ini adalah projek rakyat yang dijanjikan kerajaan Barisan Nasional sebelum pilihan raya umum ke-13 lepas. Saya yakin matlamat Wawasan Perlis Maju 2030 akan tercapai dengan kejayaan KPLC," kata Azlan.

Ketua Eksekuif NCIA, Redza yakin dengan pelbagai insentif disediakan kerajaan pusat selaras dengan objektif Transformasi Nasional 2050, KPLC akan berupaya menarik banyak pelaburan asing. -- BERNAMA
 
Copyright © 2014 PenangKini.