BREAKING NEWS

Monday, 27 March 2017

PRU14: Kit Siang Lari Lagi, Pergi Mana Pula Lepas Ni?



KUALA LUMPUR: Sejak penglibatan Penasihat DAP Lim Kit Siang ke dalam arena  politik tanah air, beliau sudah mencatatkan rekod bertanding di tujuh kerusi  Parlimen di negeri-negeri yang berbeza.
Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Seri Dr Hilmi Yahya berkata, kini desas-desus  timbul apabila Kit Siang tidak akan mempertahankan parlimen Gelang Patah pada  Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ekoran pengundi kawasan berkenaan mula rasa  tidak senang dengan wakil rakyat yang dipilih pada PRU lepas.
“Kenapa mahu lari ke sana dan ke sini? Mungkin beliau takut ke­rana tidak selalu turun ke kawasan sendiri (Gelang Patah), sebab itu berhijrah ke tempat lain,”  katanya.
Untuk rekod, Kit Siang mula diangkat sebagai ahli parlimen pada 1969 dengan  mewakili parlimen Bandar Melaka sebelum bertanding di parlimen Kota Melaka dan  mewakili kawasan berkenaan pada 1974.
Foto: UtusanPada PRU tahun 1978, Kit Siang berpindah ke Selangor dan bertanding di parlimen  Petaling Jaya dan kembali ke Kota Melaka pada PRU tahun 1982.
'Perpindahan' Kit Siang berterusan pada PRU tahun 1986 apabila beliau yang pada  waktu itu Setiausaha Agung DAP bertanding di parlimen Tanjong, Pulau Pinang,  seterusnya di parlimen Ipoh Timur, Perak pada 2004 dan kini mewakili parlimen  Gelang Patah selepas berjaya memenanginya pada PRU13 lepas.
Kit Siang dilaporkan tidak menolak kemungkinan mencari kawasan ‘baharu’ untuk  bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.
Katanya, walaupun Parlimen Gelang Patah menjadi keutamaannya, tetapi jika ada  permintaan atas faktor strategik kemenangan parti, beliau akan memikirkan  perkara berkenaan.
Tegas Dr Hilmi, sikap Kit Siang yang suka berpindah-randah seolah-olah  memperlekehkan kepercayaan pengundi demi menyelamatkan karier politiknya.
“Sebab itu di negeri ini sahaja kita boleh lihat macam-macam masalah termasuk  peningkatan tarif air, pelbagai kenaikan cukai dan caj tempat letak kereta yang  dikenakan selama 24 jam sekali gus membebankan rakyat,” katanya.
Minggu lalu, ketika lawatan Kit Siang di Bentong, Pahang, beberapa kain rentang  yang tertera gambar beliau dengan kapsyen "Where is Uncle Kit Siang? Gelang  Patah Misses You (Pak Cik Kit Siang dimana? Gelang Patah rindukan kamu)" di  letakkan di sepanjang jalan utama kawasan berkenaan.
Kain rentang berkenaan dipercayai diletakkan ekoran rasa tidak puas hati  pengundi parlimen Gelang Patah yang 'merindui' wakil rakyat mereka yang hanya  balik kampung sewaktu musim perayaan sahaja.
Turut mengulas isu nomad Kit Siang, Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka  Siong berkata, perpindahan tersebut sebagai cara pemimpin DAP itu untuk  mengaburi mata masyarakat ekoran kegagalannya berbakti kepada pengundi  kawasannya.
Menyifatkan Kit Siang sebagai 'bidan terjun', Ka Siong tidak menolak kemungkinan bahawa Kit Siang akan bertanding di kawasan lain pada PRU14 akan datang.
“Walaupun dilontar pertanyaan sama ada mahu kekal di Gelang Patah atau  sebaliknya, tiada jawapan yang konkrit daripada Kit Siang. Tapi bila dia dicabar dan orang di Gelang Patah semua cari dia, dia terpaksa mencari jawapan sebagai  alasan,” katanya.
- Malaysian Digest


 
Copyright © 2014 PenangKini.