BREAKING NEWS

Friday, 24 March 2017

Remaja perempuan pandu lawan arus mengaku tidak bersalah

BUKIT MERTAJAM – Remaja perempuan yang sebelum ini didakwa mengambil amphetamine ketika memandu secara melawan arus hingga mengakibatkan kemalangan maut, sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah.

Ng Pei Ven, 19, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan memandu sebuah kenderaan di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian Mohamad Fandi Rosli, 26, di Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, pada 7.50 pagi, 14 Mac lepas.

 Remaja yang merupakan model sambilan itu didakwa mengikut Seksyen 44(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang tiga tahun dan tidak lebih 10 tahun, dan denda minimum RM8,000 dan maksimum RM20,000, serta hilang kelayakan lesen memandu tidak kurang lima tahun dari tarikh sabitan, jika sabit kesalahan.

 Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Razali Che Ani menawarkan jaminan RM10,000 dengan dua penjamin. Peguam Parmjit Singh yang mewakili Ng kemudiannya memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan atas faktor tertuduh adalah orang kurang upaya dan masih remaja.

 Majistret Jamaliah Abd Manap kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan dua penjamin dan menetapkan 12 Mei untuk sebutan semula kes.

Pada 17 Mac lepas, Ng mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan mengambil dadah amphetamine di Pejabat Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Seberang Perai Tengah dekat sini pada 5 petang, 14 Mac lepas.

 Remaja itu didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM5,000, jika sabit kesalahan. Model sambilan itu dibebaskan dengan ikat jamin RM5,000 dengan dua penjamin.- BERNAMA
 
Copyright © 2014 PenangKini.