BREAKING NEWS

Tuesday, 7 March 2017

Staf Kedutaan Korea Utara juga dilarang meninggalkan Malaysia

Susulan arahan Korea Utara melarang rakyat Malaysia di sana meninggalkan negara itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini mengeluarkan arahan sama terhadap pegawai dan kakitangan Kedutaan Korea Utara di Malaysia.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata KDN menerusi Jabatan Imigresen tidak membenarkan mana-mana pegawai atau kakitangan di Kedutaan Korea Utara keluar dari Malaysia dan arahan itu berkuat kuasa serta-merta.
Pada sidang media di lobi Parlimen sebentar tadi, Zahid berkata arahan itu dikeluarkan sebagai tindak balas terhadap arahan terlebih dulu dikeluarkan Kementerian luar Korea Utara yang melarang warga Malaysia di sana meninggalkan negara itu.
“Kita tidak berhasrat untuk melakukan tindak balas tetapi ini harus dilakukan apabila negara yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Malaysia melakukan tindakan di luar tatasusila dan kezaliman diplomatik.

“Malaysia terpaksa mengambil tindakan sama kerana mereka memanipulasikan apa yang dipanggil sebagai kes pembunuhan di klia2.
“Kita mahu menghantar mesej jelas kepada negara berkenaan jangan pernah tuding jari pada Malaysia dan merendah-rendahkan tahap Malaysia sebagai negara berdaulat yang menjalankan semua siasatan berdasarkan profesionalisme PDRM, Jabatan Kimia dan lain-lain agensi penguatkuasaan,” katanya.
Korea Utara sebentar tadi menerusi pegawai media kawalan kerajaan Korea Central News Korea berkata semua rakyat Malaysia di Korea Utara dilarang buat sementara waktu meninggalkan negara itu sehingga insiden yang berlaku di Malaysia diselesaikan dengan baik.
Pada Sabtu, Malaysia mengisytiharkan duta Korea Utara ke Malaysia, Kang Chol sebagai pesona non grata. Beliau pulang ke Korea Utara semalam.
Hubungan antara dua negara itu tegang selepas Pyongyang membantah bedah siasat polis Malaysia terhadap mayat Kim Jong Nam, abang sebapa diktator Korea Utara yang dipercayai dibunuh di terminal klia2 pada 13 Februari.
Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata bagi memastikan rakyat Malaysia di sana selamat, beberapa tindakan akan diambil berdasarkan kepada Konvensyen Geneva yang ditandatangani sebagai negara yang mempunyai hubungan diplomatik dengan negara sahabat.
Beliau berkata setakat ini Malaysia tidak berhasrat membawa perkara itu ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu kerana yakin dengan Konvensyen Geneva yang ditandatangani semua negara anggota untuk mematuhi perjanjian berkenaan.
 
Copyright © 2014 PenangKini.