BREAKING NEWS

Thursday, 16 March 2017

Tahniah Kit Siang, 50 tahun setanding Mugabe, Saddam - TS Annuar Musa


annuarmusa-limkitsiangKUALA LUMPUR: Selepas pertelingkahan sesi pagi, sesi petang Dewan Rakyat hangat lagi apabila Tan Sri Annuar Musa (BN-Ketereh) menyerang tokoh veteran DAP Lim Kit Siang (DAP-Gelang Patah).
Kit Siang yang berbahas sebelum Annuar menumpukan ucapannya berhubung “Malaysian Official 1”, isu derma RM2.6 bilion dan tindakan undang-undang Jabatan Kehakiman Amerika (DoJ) berkaitan 1MDB.
Apabila tiba gilirannya, Annuar membuka ucapan dengan secara sinis mengucapkan tahniah kepada Kit Siang kerana bertahan lama dalam politik, setanding diktator Zimbabwe Presiden Robert Mugabe dan diktator Iraq Presiden Saddam Hussein.
“Gelang Patah 50 tahun dengan retorik politik, tahniah saya ucapkan,” katanya.
Tindakan Annuar menghalang Kit Siang mencelah menyebabkan Lim Lip Eng (DAP-Segambut) mengecamnya sebagai “pengecut” dan “pondan”.
Annuar memetik kata-kata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada era 1990-an, yang menyifatkan Kit Siang sebagai “rasis”.
Teo Kok Seong (DAP-Rasah) kemudian bangun dan mendesak Annuar menarik balik kenyataan itu.
“Tun Mahathir yang kata, bodoh punya Rasah,” jawab Datuk Othman Abdul (BN-Pendang) mencelah.
“Saya ulang kata-kata Dr Mahathir dan saya berpendapat dalam banyak perkara, masyarakat merasakan soal hal ehwal Islam tidak disokong Yang Berhormat (Lim Kit Siang),” kata Annuar lagi.
Meneruskan ucapannya, Annuar menempelak pembangkang yang tidak bersetuju dengan pelaburan China kerana tidak senang melihat negara menerima manfaat daripadanya.
“Apabila negara asing datang melabur, timbul cakap-cakap kita nak jual negara. Dahulu Malaysia antara penerima besar program Bantuan Pembangunan Rasmi (ODA) oleh Jepun, adakah kita dijajah mereka?”
Memetik laporan Bernama, Jepun antara negara pelabur utama di Malaysia sejak 1980an. Setakat 2015 sahaja, sejumlah 2,602 projek perusahaan dijalankan dengan penglibatan syarikat Jepun dengan nilai pelaburan RM85 bilion dan 342,837 peluang pekerjaan.
“Jika ekonomi dan perpaduan baik, ia tidak baik untuk pembangkang. Kerajaan stabil adalah berita buruk bagi mereka. Kita faham sangat.
“Tapi jangan risau, pilihan raya akan datang BN yang pro-rakyat akan bertemu sekali lagi dengan pakatan yang pro-DAP. Kita tidak gusar selagi Pakatan dikuasai DAP.
“Sehebat Nik Aziz gagal mendakwah DAP, tetapi DAP berjaya pecahkan PAS,” katanya lagi.
Kenyataan Annuar itu juga menyebabkan beberapa ahli Parlimen lain bangkit untuk mencelah, seperti Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) dan Jimmy Wong (DAP-Kota Kinabalu) namun dihalang Timbalan Speaker Datuk Ronald Kiandee. FMT
 
Copyright © 2014 PenangKini.