BREAKING NEWS

Wednesday, 29 March 2017

Tak perlu jadi ‘hero’ pertahan guru, NUTP beritahu pembangkang

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) berkata pembangkang sengaja mahu mengambil kesempatan selepas menteri pendidikan memberi amaran kepada guru yang melibatkan diri dalam politik.
Presiden NUTP, Kamarozaman Abd Razak berkata ini kerana pembangkang mengetahui guru merupakan penentu penting pada pilihan raya umum akan datang.
“Pembangkang cuba ambil kesempatan kepada kenyataan Datuk Seri Mahdzir Khalid. Mereka sepatutnya tidak perlu jadi ‘hero’.
“Kalau betul pembangkang profesional, pergi bantu dan tanya apa sebab cikgu itu membangkang dan bukannya menghentam menteri yang membuat kenyataan itu,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata demikian mengulas beberapa kenyataan mewakili hampir semua parti pembangkang yang membidas Mahdzir kerana mengugut guru yang mengkritik kerajaan dan menceburkan diri dalam politik.
Mereka berkata, kerajaan sepatutnya menganggap suara mereka sebagai kritikan membina.

“Memberi kritikan adalah perkara yang baik. Mengapa di Malaysia apabila ada pihak membangkang, kita nak hukum mereka?” soal wakil rakyat Amanah, Hanipa Maidin ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, semalam.
Hanipah mempersoalkan surat tunjuk sebab kepada 5 orang guru kerana didakwa “menghentam kerajaan di pentas pembangkang”, seperti dilaporkan Berita Harian.
Mahdzir kelmarin menasihatkan guru yang berpolitik berhenti mengajar.
Kamarozaman mempertahankan tindakan Mahdzir memberi amaran kepada guru tersebut.
“Guru ini tugasnya mengajar dan jika mereka nak jadi pembangkang atau terlibat dengan mana-mana parti politik mestilah dengan saluran yang betul.
“Kita perlu faham tentang penjawat awam ini, mereka telah pegang pada akujanji supaya taat setia terhadap kerajaan yang memerintah masa ini. Tidak kira sesiapa memerintah, tetapi merujuk kepada kerajaan Malaysia,” katanya.
Sehubungan itu, pimpinan pembangkang diingatkan tidak terlalu ghairah untuk memancing undi daripada guru.
“Kita mahu suasana yang harmoni. Jika guru berpolitik dan menyebelahi pembangkang, dan anak murid pula apabila diketahui menyokong Barisan Nasional (BN), akan jadi kecoh.
“Kita perlu fikir secara global dan tidak berfikiran sempit. Perlu pandang pendidikan yang harmoni untuk masa depan,” katanya.
 
Copyright © 2014 PenangKini.